Aaron Chia-Wooi Yik kaut hampir RM315,000, tamatkan penantian di Terbuka Singapura


  • Podium
  • Ahad, 01 Jun 2025

Gandingan Wooi Yik dan Aaron Chia sudah menjuarai tiga gelaran musim ini dengan lebih banyak akan diimpikan mereka. — Facebook/Hannah Yeoh

PEMAIN beregu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik berjaya meraih gelaran juara pada kejohanan badminton Terbuka Singapura 2025 selepas menundukkan pasangan Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae pada Ahad.

Beregu lelaki yang berada di kedudukan kedua dunia itu berjaya mengatasi saingan lawan dalam pertembungan akhir yang berlangsung di Stadium Tertutup Singapura dengan pemenang pingat gangsa Olimpik Paris itu terpaksa bekerja keras.

Pada set pertama, pasangan negara dilihat bermula dengan perlahan, sekali gus memberi peluang kepada gandingan Korea Selatan untuk menang dengan mata 21-15.

BACA LAGI: Tak pandang rendah pasangan India, Aaron-Wooi Yik ambil pengajaran aksi Sze Fei-Izzuddin

BACA LAGI: Kalahkan rakan senegara, Aaron-Wooi Yik ke separuh akhir Terbuka Thailand

Aaron-Wooi Yik membantu menamatkan penantian negara dalam Terbuka Singapura. Facebook/BAM

Namun, pada set seterusnya, Aaron-Wooi Yik menunjukan semangat juang yang tinggi apabila bangkit menang dengan mata 21-18 bagi mengheret aksi ke set penentuan.

Momentum itu berjaya diteruskan apabila wakil negara itu berjaya menampilkan corak permainan yang agresif sebelum mengesahkan kejuaraan dengan mata 21-19.

Kejayaan itu bukan sahaja menghadiahkan mereka gelaran ketiga musim ini, malah menyaksikan dendam terhadap lawan tersebut lunas selepas mereka pernah bertemu di separuh akhir Terbuka India pada Januari lalu.

Lebih manis, ia juga menamatkan kemarau 17 tahun negara untuk muncul juara beregu lelaki di Terbuka Singapura sejak kali terakhir dimenangi pasangan Mohd Zakry Abdul Latif-Mohd Fairuzizuan Mohd Tazari pada edisi 2008.

Selaku juara, Aaron-Wooi Yik membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak AS$74,000 (RM314,997) manakala Won Ho-Seung Jae menerima AS$35,000 (RM148,985) selaku naib juara.

Ini adalah gelaran ketiga musim ini buat beregu lelaki negara tersebut selepas menjulang Kejohanan Badminton Asia dan Terbuka Thailand. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram