
JOHOR Darul Ta’zim (JDT) mengambil langkah unik dengan menghantar dua pasukan berbeza untuk bertanding dalam kejohanan Piala Belia musim ini.
Tindakan itu menimbulkan persoalan bahawa peluang dan jumlah perlawanan yang disediakan oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk pemain muda negara adalah terhad.
Kehadiran dua pasukan dari satu kelab dalam satu kejohanan boleh dilihat sebagai petanda bahawa jumlah perlawanan rasmi bagi pemain muda sebenarnya masih tidak mencukupi.
BACA LAGI: Hampir lengkap, 3 tonggak Perak FC termasuk Wan Zack selangkah sarung jersi Harimau Kumbang
BACA LAGI: [VIDEO] Lepas aksi mengecewakan, Amad Diallo 'koyak' tunjuk isyarat lucah
JDT IV (kiri) meraih kemenangan mudah ke atas skuad 'adik' dengan keputusan 3-0. — Facebook/FAM
Situasi itu menyebabkan kelab seperti JDT terpaksa mengambil pendekatan luar biasa demi memastikan pemain mereka memperoleh pendedahan dan pengalaman bertanding yang cukup untuk perkembangan mereka.
Pemerhati sukan tempatan, Afiq Rowley berkata, isu tersebut timbul apabila ramai kelab utama memilih untuk menarik diri daripada saingan liga belia, sekali gus memberi kesan kepada kelab pembangunan yang bergantung kepada saingan kompetitif untuk melatih pemain muda.
“Sudah tentu, apabila kebanyakan kelab utama menarik diri dalam saingan Liga Super, ia sebenarnya memberi impak negatif kepada kelab pembangunan yang memerlukan lebih banyak peluang perlawanan,” katanya kepada Majoriti.
Dalam usaha mencari jalan penyelesaian, beberapa cadangan telah dikemukakan, termasuklah menjemput kelab pembangunan luar negara untuk turut serta dalam liga belia tempatan bagi meningkatkan kualiti dan pengalaman dalam kalangan pemain muda.
"Pandangan saya, mungkin perlu menjemput kelab pembangunan luar? Saya sendiri tidak begitu pasti dengan cadangan yang bersesuaian.
“Selain itu, melibatkan pemain dalam saingan liga yang dijalankan beberapa pusingan juga boleh menjadi langkah terbaik bagi memastikan mereka mendapat minit permainan yang mencukupi,” tambahnya.
AMD (jersi merah) turut menghantar dua pasukan bagi saingan Piala Belia musim ini. — Facebook/FAM
Mengenai kesan jangka panjang jika liga belia terus kekurangan perlawanan kompetitif, Afiq menegaskan bahawa negara bakal menghadapi risiko kekurangan pemain muda berkualiti yang mampu menjadi pelapis pasukan senior.
“Kita bakal kekurangan bekalan pemain muda yang dapat mengisi tempat pasukan senior. Bukan sahaja jumlah pemain berkurang, malah pilihan pemain berkualiti juga semakin sukar untuk ditemui,” jelasnya.
Isu kekurangan perlawanan dalam liga belia dilihat semakin kritikal dan memerlukan tindakan segera daripada MFL serta pihak berkepentingan agar pembangunan pemain muda negara dapat terus berjalan dengan lancar dan berkesan.
Selain skuad muda Harimau Selatan, Akademi Mokhtar Dahari (AMD) turut menghantar dua pasukan berbeza, iaitu AMD Future dan AMD B-16 (Bawah 16 Tahun). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram