[VIDEO] Pemandu rempuh penyokong asal Liverpool, dikesan keluar bar sebelum insiden


  • Podium
  • Selasa, 27 Mei 2025

Tangkap layar dari pelbagai video tular berhubung kejadian yang berlaku ketika sambutan kejuaraan skuad The Reds.

SATU insiden mengejutkan berlaku ketika sambutan kejuaraan di bandar Liverpool semasa penyokong meraikan kejayaan pasukan berkenaan menjulang Liga Perdana Inggeris (EPL) 2024/25.

Ini selepas 47 individu, termasuk empat kanak-kanak cedera setelah dirempuh kereta yang dipandu dalam gelombang manusia yang mengenakan pakaian berwarna merah berserta suar.

Berdasarkan rakaman tular di media sosial, kenderaan berkenaan pada awalnya dikerumuni penyokong yang cuba memberhentikan pemandu, namun ia secara tiba-tiba memecut sehingga melanggar beberapa individu.

BACA LAGI: Kereta rempuh puluhan penyokong Liverpool ketika perarakan trofi, Mo Salah kena kecam teruk

BACA LAGI: Pantas buat kerja, Liverpool sedia sambar bintang Brighton ganti penyerang tumpul

Lebih mengejutkan lagi, kereta hitam tersebut kelihatan dengan sengaja melanggar orang ramai yang berada di bahu jalan sehingga mereka bergelimpangan sementara yang lain cuba melarikan diri.

Kereta itu akhirnya berhenti di tengah jalan dengan beberapa penyokong The Reds bertindak memecahkan cermin kereta untuk menangkap pemandu sambil pihak polis turut hadir ke lokasi tersebut.

Berdasarkan laporan semasa, pihak polis sudah menahan suspek yang merupakan seorang lelaki tempatan dari Liverpool berusia dalam lingkungan 50-an dengan kes tersebut tidak diklasifikasikan sebagai serangan pengganas.

Kenyataan saksi di lokasi kejadian menyatakan kereta itu pada awalnya dipandu perlahan, namun berkali-kali membunyikan hon untuk melalui jalan yang dipenuhi ribuan penyokong Liverpool.

Sambutan di tengah bandar itu berubah menjadi tragedi susulan sikap individu tidak bertanggungjawab itu. — Agensi

Tetapi, secara tiba-tiba, pemandu tersebut bertindak memecut sebelum gagal mengawal kenderaan dan melanggar puluhan individu yang kini sedang menerima rawatan di hospital seluruh negara.

Saksi lain pula mengatakan mereka ternampak suspek meninggalkan bar berhampiran kawasan insiden tidak lama sebelum kejadian berlaku, namun tidak dipastikan mengenai kandungan alkohol dalam darah.

Setakat ini, figura penting sekitar United Kingdom, termasuk Perdana Menteri, Kier Starmer sudah mengeluarkan kenyataan berhubung insiden itu dengan mengharapkan semua mangsa diberikan rawatan sebaiknya.

Liverpool FC turut menzahirkan salam takziah terhadap semua individu terlibat dengan mereka mengharapkan sokongan penuh diberikan kepada pihak berkuasa yang sedang berusaha menyiasat perkara itu. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram