
SASARAN perpindahan Liverpool, Milos Kerkez memberi bayangan mengenai masa depannya selepas mengakui tidak pasti apa yang bakal berlaku dalam masa terdekat susulan tamatnya saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.
Pemain kebangsaan Hungary itu tampil cemerlang bersama AFC Bournemouth musim ini apabila diturunkan dalam kesemua 38 perlawanan liga, menjadikannya antara pemain bek kiri paling konsisten di England.
Spekulasi mengenai perpindahan Kerkez ke Anfield semakin hangat diperkatakan sejak beberapa bulan lalu. Malah, laporan terkini menyatakan perbincangan antara Liverpool dan Kerkez sudah pun berlangsung bagi membincangkan kemungkinan perpindahan pemain berusia 21 tahun itu.
BACA LAGI: Ten Hag hampir gantikan legenda Liverpool di Jerman
BACA LAGI: Bintang Liverpool tumpang bangga, pengendali Spurs tak sekadar cakap besar
Dalam satu hantaran di Instagram selepas perlawanan terakhir musim ini, Kerkez memuat naik hantaran terima kasihnya kepada penyokong dan jurulatih skuad The Cherries selepas satu musim yang cemerlang.
"Terima kasih kepada penyokong dan semua atas sokongan, terima kasih kepada pengurus kerana mempercayai saya untuk memulakan semua 38 perlawanan dan terima kasih khas kepada Tuhan kerana melindungi dan menjaga kesihatan saya.
"Sudah tentu tiada apa yang mungkin tanpa keluarga saya, saya tidak tahu apa yang akan berlaku minggu depan tetapi keluarga Cherries, terima kasih," katanya pada hantaran di laman Instagram miliknya.
Kenyataan itu seakan menguatkan lagi khabar angin bahawa Kerkez mungkin akan meninggalkan Bournemouth dalam masa terdekat, terutamanya ketika Liverpool sedang mencari pengganti jangka panjang buat Andy Robertson yang berdepan musim sukar.
Manakala, seorang lagi pertahanan kiri skuad The Reds iaitu Kostas Tsimikas pula dikhabarkan akan meninggalkan Anfield pada jendela perpindahan musim panas ini.
Kerkez sebelum ini turut menyatakan keterbukaannya untuk menyertai kelab elit Eropah dalam satu temu bual bersama The Athletic.
Robertson berdepan musim yang sukar. — Agensi
"Sebagai seorang kanak-kanak, anda bermimpi untuk bermain di tahap tertinggi, menang trofi dan sertai pasukan terbaik. Ini urusan ejen saya dan ayah saya. Bila tawaran datang, anda tak tahu ke mana anda akan pergi. Kita tunggu dan lihat musim panas nanti," katanya.
Dalam perkembangan lain, Liverpool turut dilaporkan hampir melengkapkan pembelian pemain pertahanan kanan Bayer Leverkusen, Jeremie Frimpong selepas pemain Belanda itu melepasi ujian perubatan minggu lalu.
The Reds juga kini berada di kedudukan teratas untuk mendapatkan bintang muda Jerman, Florian Wirtz selepas dikatakan berjaya menewaskan Bayern Munich dalam perebutan mendapatkan pemain tersebut. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram