
DALAM usaha memperkukuh struktur kewangan bola sepak tempatan, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) terus melangkah ke hadapan dengan memperkenalkan pelaksanaan sepenuhnya Financial Fair Play (FFP) bermula musim 2025/2026.
Pelaksanaan itu merupakan lanjutan daripada pengenalan awal FFP pada musim lalu dan kini diperkukuh melalui penguatkuasaan mekanisme had perbelanjaan gaji atau 'salary cap' sebanyak 80 peratus daripada bajet tahunan setiap kelab, lapor MFL.
Langkah strategik itu diambil bagi memastikan kelab-kelab Liga Super beroperasi dalam kerangka kewangan yang lebih mampan dan bertanggungjawab, di samping menjaga kelangsungan serta integriti pertandingan secara menyeluruh.
BACA LAGI: Rizal Ghazali, ex LWB kongsi perasaan sayu, Sang Kenari tinggal ‘jasa jadi kenangan’
Tindakan MFL itu bagi memastikan setiap pasukan Liga Super berada dalam keadaan kewangan yang stabil dan mampan. Melalui pelaksanaan FFP bermula dengan pengenalan pada musim lalu, MFL berusaha menanam budaya tanggungjawab kewangan, ketelusan dan pengurusan profesional dalam kalangan kelab.
Ia bukan sekadar memastikan kelab dapat bersaing secara adil, tetapi juga untuk melindungi kelangsungan kelab dalam jangka masa panjang.
Sebagai langkah tambahan bermula musim 2025/2026, pemantauan akan dijalankan melalui dua (2) penyerahan utama sebelum musim bermula – Penyerahan Bajet dan Penyerahan Pra-Musim – serta lima (5) penyerahan berkala sepanjang musim Liga Super.
Dokumen kewangan seperti penyata interim, penyata pendapatan dan perbelanjaan, serta akuan tiada tunggakan kepada kakitangan dan agensi berkaitan akan diteliti secara menyeluruh oleh Unit FFP.
Kelab yang gagal mematuhi akan dikenakan tindakan seperti mana merujuk kepada peraturan MFL Financial Fair Play Edisi 2025/2026.
Unit FFP akan mengadakan bengkel secara fizikal pada 28 Mei 2025 yang mana Ketua Pegawai Eksekutif dan Pegawai Kewangan semua kelab Liga Super 2025/2026 telah dijemput untuk hadir ke bengkel berkenaan.
Selain itu, bengkel secara dalam talian juga telah diadakan pada 5 Mac 2025 yang lalu untuk menerangkan tentang peraturan FFP bagi musim 2025/2026 secara tentatif.
Selain daripada peraturan baharu FFP seperti ‘Salary Cap’ 80 peratus yang akan dilaksanakan untuk musim 2025-2026, Unit FFP juga akan melancarkan Sistem Pentadbiran yang baharu untuk digunakan oleh semua kelab.
Latihan bagi penggunaan sistem tersebut akan diberikan semasa bengkel berlangsung supaya kelab-kelab lebih memahami cara untuk menggunakan sistem pentadbiran berkenaan.
Tujuan utama pengenalan sistem tersebut adalah bagi memudahkan kedua-dua pihak iaitu Unit FFP dan kelab-kelab dari segi penyerahan dan pemantauan dokumen sepanjang musim 2025-2026 dan yang akan datang secara lebih sistematik dan efektif. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram