Dengarnya kembali ke pangkuan Kim Swee, bek Sabah FC ada 3 sebab wajib pilih Persis Solo


  • Podium
  • Jumaat, 23 Mei 2025

Sabah FC dijangka sekali lagi menerima tamparan hebat apabila bakal kehilangan import kental musim depan. — Facebook/Sabahfc

KEM Sabah FC sekali lagi dijangka berdepan tamparan hebat apabila import kental The Rhinos, Gabriel Peres dilaporkan bakal meninggalkan kelab dalam masa terdekat.

Sebelum ini, tiga pemain import telah pun mengucapkan selamat tinggal kepada Sabah FC, iaitu pemain sayap Indonesia, Saddil Ramdani, Park Tae-su dan yang terbaharu, Telmo Castanheira.

Meskipun tiada kenyataan rasmi daripada mana-mana pihak setakat ini, tidak mustahil pemain kelahiran Brazil itu akan menamatkan khidmatnya bersama The Rhinos dalam masa terdekat.

BACA LAGI: Siapa lagi selain Brunei? MFL masih 'kunci mulut' jumlah sebenar kelab bertanding Liga Super

BACA LAGI: Bintang Liverpool tumpang bangga, pengendali Spurs tak sekadar cakap besar

Tambahan pula, sebahagian besar kontrak pemain Sabah FC, termasuk Peres dijangka tamat pada 31 Mei 2025, sekali gus membuka ruang untuk penghijrahan ke kelab lain.

Pemain pertahanan berketinggian 1.97 meter itu kini dikaitkan dengan dua kelab dari negara jiran, Malut United dan Persis Solo yang dilaporkan berminat mendapatkan khidmatnya.

Walaupun masih belum ada pengumuman rasmi, langkah untuk menyertai semula bekas pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee yang kini bersama Persis Solo dilihat sebagai satu pilihan yang wajar dipertimbangkan oleh Peres.

Oleh itu, Majoriti menyenaraikan tiga sebab mengapa Gabriel Peres patut mempertimbangkan untuk menyertai semula Kim Swee di Persis Solo:

1. Tahap kompetitif lebih baik

Sekiranya Peres mengambil keputusan untuk berhijrah ke Indonesia, ia boleh dianggap sebagai langkah yang tepat dari segi perkembangan karier dan pendedahan antarabangsa.

Liga 1 Indonesia telah menunjukkan peningkatan yang ketara dari segi tahap kompetitif, struktur liga, kehadiran penonton, serta pelaburan kelab dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Dengan latar belakang Peres sebagai seorang pemain bertahan yang memiliki kelebihan fizikal dan pengalaman bersama Sabah FC dalam Liga Super Malaysia, dia berpotensi untuk menyesuaikan diri dengan pantas di Indonesia.

Peres memiliki kelebihan fizikal yang memberikannya keunggulan dalam perebutan bola di udara. — Instagram/gabrieelwotter

Corak permainan yang pantas dan fizikal dalam Liga 1 sesuai dengan kekuatan semula jadi Peres sebagai bek tengah yang agresif dan dominan di udara.

Tambahan pula, jika dia beraksi di bawah bimbingan Kim Swee di Persis Solo, ini akan memberikan kelebihan dari segi keserasian taktikal dan kefahaman terhadap gaya permainan yang sudah dikenalinya.

Bersama Sabah FC, Peres mencatatkan lima gol dan empat bantuan jaringan dalam 17 penampilan liga.

2. Peluang sekali lagi bekerjasama dengan Kim Swee

Sekiranya Peres mengambil keputusan untuk meninggalkan Sang Badak, Persis Solo sememangnya merupakan pilihan terbaik untuk mengembangkan kariernya di luar negara.

Salah satu kelebihan utama sekiranya Peres memilih untuk menyertai Persis Solo ialah peluang untuk bekerjasama semula dengan Kim Swee, bekas jurulatihnya di Sabah FC.

Hubungan kerja yang sudah terjalin sebelum ini memberi Peres kelebihan besar dari segi kefahaman taktikal serta keserasian dalam padang.

Bek kental Sabah FC, Gabriel Peres. — Instagram/gabrieelwotter

Dia tidak perlu bermula dari kosong untuk menyesuaikan diri dengan sistem permainan, kerana dia sudah terbiasa dengan pendekatan serta falsafah bola sepak Kim Swee.

Tambahan pula, Kim Swee juga tentunya sudah mengetahui kekuatan dan kelemahan Peres, dan ini membolehkan dia menggunakan Peres secara optimum di posisi bek.

Kepercayaan yang diberi oleh seorang jurulatih yang sudah mengenali kemampuannya boleh meningkatkan keyakinan diri dan prestasi Peres di atas padang.

3. Tiada risiko isu gaji

Umum mengetahui bahawa Persis Solo merupakan antara kelab di Indonesia yang memiliki pengurusan kewangan yang stabil serta rekod baik dalam menjaga kebajikan pemain.

Ini menjadikan kelab tersebut destinasi ideal buat Peres, terutamanya selepas berdepan dengan isu tunggakan gaji bersama Sabah FC, satu masalah yang boleh menjejaskan motivasi dan kestabilan pemain.

Peluang untuk menyertai kelab yang tidak dibayangi risiko kewangan seperti Persis Solo memberi jaminan lebih baik dari segi pendapatan, sokongan fasiliti dan kestabilan karier jangka panjang.

Peres dijangka kembali bekerjasama dengan Kim Swee di Persis Solo musim depan. — Instagram/gabrieelwotter

Dalam suasana bola sepak profesional, faktor luar padang seperti pembayaran gaji tepat pada waktunya adalah sama pentingnya dengan prestasi di atas padang, kerana ia mempengaruhi fokus dan kesejahteraan mental pemain.

Dengan menyertai Persis Solo, Peres bukan sahaja boleh memberi tumpuan sepenuhnya kepada prestasi dan pembangunan kariernya, malah dapat menikmati suasana kerja yang lebih profesional dan tersusun. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram