
SELEPAS beberapa bulan berteka-teki, status Brunei DPMM FC sebagai pasukan jemputan ke Liga Super musim depan akhirnya disahkan seperti mana diumumkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).
Berdasarkan kenyataan dikeluarkan pada Jumaat, kelab berkenaan akan menyertai 13 pasukan tempatan lain bagi saingan 2025/26 dengan ia akan menjadi kali pertama pasukan dari negara itu beraksi dalam Liga Malaysia sejak 2008.
Namun, tidak lama sebelum pengumuman itu dibuat, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) tampil menyatakan hasrat menghalang kelab beraksi di liga luar negara.
BACA LAGI: Brunei sah sertai Liga Super, JDT dan Selangor wakil ke AFF
BACA LAGI: Siapa lagi selain Brunei? MFL masih 'kunci mulut' jumlah sebenar kelab bertanding Liga Super
AFC menyatakan rancangan untuk menghalang liga sekitar Asia menjemput pasukan luar.
Jawatankuasa teknikal perbadanan tersebut berkata, perancangan itu dibuat kerana pelaburan besar dibuat mereka serta FIFA bagi pembangunan liga di negara masing-masing.
Sekiranya halangan tersebut dikuat kuasa, hasrat peminat untuk menyaksikan Brunei DPMM FC beraksi dengan lebih lama dalam Liga Super tidak akan kesampaian.
Perkara itu bagaimanapun disokong pemerhati bola sepak tempatan, Afiq Rowley yang menyatakan keberadaan pasukan asing tidak membawa manfaat besar selain hanya menyajikan pengalaman berharga.
"Pada saya, jika kita menghantar skuad muda seperti yang dilakukan Lions XII dari Singapura sebelum ini, ia boleh memberi pendedahan dan minit permainan kepada pemain yang menguntungkan negara.
"Tetapi, jika mereka ingin beraksi di luar tanpa sebarang alasan munasabah, rasanya tak patut. Terutama saingan Liga M kini yang semakin sikit pasukan bertanding," katanya kepada Majoriti.
Kelab dari Brunei pernah mewarnai arena bola sepak tempatan beberapa tahun lalu.
Meskipun hanya akan beraksi dalam Liga Super yang bermula pada Ogos nanti, Brunei DPMM FC sudah melakukan persiapan dengan menandatangani bekas bek kiri Penang FC, Fairuz Zakaria.
Pasukan kendalian Jamie McAllister itu turut dilaporkan bakal mengalu-alukan kehadiran penyerang muda Indonesia, Ramadhan Sananta yang kini beraksi buat Persis Solo di bawah bimbingan Datuk Ong Kim Swee.
Segala persiapan dilakukan itu amat diharapkan mampu memberi impak positif, lebih-lebih lagi kerana pasukan tersebut sudah beraksi dalam Liga Singapura sejak lebih 10 tahun lalu.
Jelas Afiq lagi, kehadiran kelab tersebut tidak membawa impak yang besar selain hanya meningkatkan jumlah pasukan bertanding selain memberi peluang pemain tempatan beraksi di Brunei.
"Pada saya, tiada kepentingan langsung untuk DPMM FC menyertai Liga M sebenarnya. Cuma, kuota pasukan bertambah dan beri peluang pemain tempatan lain menyertai pasukan sana. Tetapi, untuk tingkatkan nilai komersial liga, rasanya tak sangat, cukup semusim sahaja," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram