
SELEPAS lapan hari berkampung di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur, Kejohanan Piala Sepak Takraw Asia (ASTAF) akhirnya bakal melabuhkan tirainya dengan pertemuan dua seteru iaitu Malaysia dan Thailand akan menjadi aksi terakhir di gelanggang itu pada Ahad.
Usai menewaskan India dengan keputusan 2-0, Malaysia selepas ini akan menentang Thailand bagi acara final regu berpasukan dengan ia diharapkan akan menjadi misi bersejarah untuk mengakhiri kemarau lebih tiga dekad.
Kira-kira sejam sebelum acara berpasukan bermula, penyokong sudah mula membanjiri kawasan Stadium Titiwangsa untuk memberikan sokongan kepada skuad kebangsaan dalam acara final regu berpasukan itu.
BACA LAGI: Fans Malaysia baik hati, mohon tukar pengadil sebelum tamatkan badi 34 tahun jumpa Thailand di final
BACA LAGI: Tak sempat 'mandi peluh' tewaskan Nepal, Ahmad Jais masih belum puas prestasi regu takraw kebangsaan
Penyokong-penyokong setia pasukan sepak takraw negara menyuarakan harapan dan keyakinan tinggi terhadap kemampuan skuad Malaysia untuk menamatkan penantian kejuaraan selama 34 tahun.
Bagi penyokong dari Rawang, Selangor iaitu Muhammad Syarif Ramli, 42, bersama anaknya Muhammad Darwisy Hasif, 12, mengakui mereka teruja dan mengharapkan Malaysia tidak melepaskan peluang yang sudah lama dinanti-nantikan.
“Harapan saya untuk final ini, semestinya kita mahu menjadi juara. Sudah 34 tahun kita menunggu, dan peluang yang ada sekarang ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya.
“Kalau boleh, kita nak dapatkan mata dari servis. Itu yang akan beri kelebihan kepada pasukan. Saya memang minat Syahir Rosdi dan Haziq (Nizam). Harapnya petang ini kita menang 2-0,” kata Muhammad Syarif kepada Majoriti.
Turut berkongsi pandangan ialah pasangan adik-beradik dari Negeri Sembilan, Sofia Amira Saiful Lokman, 22, dan Putri Naziera, 20. Kedua-dua mereka mempercayai dengan peningkatan kualiti skuad kebangsaan.
“InshaaALLAH kita boleh menang. Kami yakin sebab prestasi Malaysia semakin baik. Tekong, striker dan feeder semua sudah menunjukkan peningkatan.
“Pemain kegemaran kami ialah Haziq sebab kami orang Negeri Sembilan. Mungkin Sittipong sekali lagi akan dikecewakan petang ini. Semoga kemenangan jadi milik kita,” kata mereka.
Sementara itu, seorang lagi penyokong tegar iaitu Syed Roslan, 39, menyeru agar barisan pemain yang terbaik diturunkan untuk mengekalkan momentum kemenangan.
“Pertama sekali, kena tengok regu yang diturunkan. Kalau Syahir, Farhan (Adam) dan Azlan (Alias) dimasukkan, memang seronok. Kena kurangkan eksperimen dan penting untuk buat pertukaran cepat kalau ada pemain tak perform,” katanya.
“Saya harap Syahir, Azlan dan Farhan diturunkan sebagai regu pertama. Untuk regu kedua, saya pilih Aizat dan Aidil, mereka ada gandingan yang mantap,” kongsinya.
Bukan itu sahaja, Syed Roslan juga menekankan pentingnya peranan penyokong dalam memberikan tekanan kepada lawan.
“Penyokong kena main peranan. Kita kena psiko pemain Thailand macam mana kita buat dekat Sittipong hari itu. Dia koyak, dan jurulatih mereka pun terpaksa tukar dia. Kali ini, kita kena ulang semula perkara itu. Tekanan dari penyokong boleh jadi senjata kita,” ujarnya.
Perlawanan akhir yang dijadualkan berlangsung pukul 4.00 petang ini bukan sekadar pertarungan di gelanggang, tetapi juga simbol semangat dan harapan seluruh rakyat Malaysia yang mahu melihat pasukan negara kembali bergelar juara di pentas antarabangsa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram