
NAMA Leandro Velazquez kekal segar dalam ingatan penyokong setia Johor Darul Ta'zim (JDT) meskipun sudah hampir dua tahun meninggalkan skuad Harimau Selatan.
Pemain tengah kelahiran Argentina berkenaan bukan sekadar meninggalkan jejak, malah mencipta kenangan manis sepanjang dua fasa perkhidmatannya bersama kelab gergasi selatan tanah air itu.
Velazquez yang sebelumnya hanya bermain dalam saingan liga di Argentina mula mencuri tumpuan penyokong Harimau Selatan apabila menyertai kelab itu buat pertama kali pada 2015.
BACA LAGI: Terima kasih beri peluang, bintang JDT-Selangor tinggalkan kelab Thailand
BACA LAGI: Kecoh di Sepanyol, JDT adakan friendly dengan kelab elit LaLiga tak lama lagi
Kehadirannya segera memberi impak besar apabila dia menjaringkan gol tunggal kemenangan dalam perlawanan akhir Piala AFC, sekali gus membantu JDT muncul juara, ia merupakan pencapaian bersejarah buat kelab dan bola sepak Malaysia.
Selepas kejayaan itu, pemain berketinggian 1.67 meter berkenaan meneruskan karier di beberapa kelab di benua Amerika baik di Selatan mahupun Utara, sebelum membuat keputusan untuk kembali ke JDT pada Februari 2019.
Kepulangan itu terbukti sebagai langkah tepat apabila Velazquez tampil lebih matang, berpengaruh, dan menjadi nadi penting di bahagian tengah Harimau Selatan.
Ketajamannya dalam merancang serangan serta kemampuannya melepaskan hantaran-hantaran berbahaya menjadikan dia pemain yang sering dinanti-nantikan aksi di padang.
Foto Velazquez (kanan) bersama kakitangan Velez Sarsfield.
Kecederaan yang menimpa ketika saingan Liga Super 2023 menamatkan episod keduanya bersama JDT dan namanya digugurkan daripada skuad Harimau Selatan pada penghujung musim 2023.
Selepas meninggalkan JDT, kelibatnya tidak lagi kelihatan selama hampir dua tahun sehinggalah fotonya bersama kakitangan bekas kelabnya iaitu Velez Sarsfield di Argentina tersebar di media sosial.
Berdasarkan satu gambar berkenaan, Velazquez yang kini berusia 36 tahun seolah-olah sudah dilantik sebagai kakitangan untuk skuad dalam Primera Division iaitu liga teratas Argentina.
Kepulangannya ke Velez disambut baik oleh pemina domestik khususnya penyokong Harimau Selatan kerana mereka percaya Velazquez mampu menjadi jurulatih yang baik dengan pengalaman dimiliki pemain berkenaan.
Untuk rekod, Velazquez merangkul 14 trofi sejak menyertai kelab itu pada tahun 2019 dengan terlibat dalam 36 jaringan gol dan 32 bantuan jaringan sehingga 2023. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram