
DUNIA sepak takraw tanah air menyaksikan detik bersejarah apabila sukan warisan negara itu secara rasmi kembali diiktiraf sebagai salah satu daripada sukan teras prestasi tinggi negara.
Pengiktirafan itu turut disusuli dengan pelancaran rasmi Program Pembangunan Sepak Takraw Negara (NSTDP), sebuah inisiatif menyeluruh yang bertujuan memperkukuh ekosistem sukan sepaktakraw dari peringkat akar umbi hingga ke pentas antarabangsa.
Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh atas komitmen serta sokongan padu dalam menjayakan pelaksanaan NSTDP.
BACA LAGI: [VIDEO] Sumali berang sikap acuh tak acuh Thailand menjelang kempen Piala Asia Takraw
BACA LAGI: Khidmat masih diperlukan, misi besar menanti pengendali skuad sepak takraw negara
Menurut beliau, usaha itu mencerminkan kesungguhan kerajaan dalam memperkasakan sukan tradisional, di samping menjadi pemangkin kepada pembangunan bakat baharu serta pengukuhan struktur sukan secara menyeluruh.
"NSTDP ini bukan sekadar pelan pembangunan. Ia adalah komitmen bersama antara kerajaan, PSM, Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Majlis Sukan Negeri serta semua pihak berkepentingan untuk membina semula keunggulan Malaysia dalam sukan ini secara saintifik, sistematik dan mampan," katanya memetik kenyataan pada Selasa.
Melalui pelaksanaan NSTDP, bakat-bakat muda dari seluruh pelosok negara akan dikenal pasti serta diberi laluan pembangunan yang tersusun, bermula daripada program akar umbi, ke pusat latihan negeri, dan akhirnya ke peringkat skuad kebangsaan.
Program berkenaan turut menerapkan aplikasi sains sukan dalam aspek penting seperti biomekanik permainan, fisiologi latihan dan pemulihan atlet. Pendekatan itu diyakini mampu meningkatkan keupayaan teknikal, fizikal dan mental para atlet sepaktakraw secara holistik.
Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan. — Facebook/PSM
"NSTDP akan menyediakan ekosistem yang menyokong pertumbuhan atlet dari peringkat awal hingga ke peluang beraksi di pentas tertinggi," tambah beliau.
Dengan pelancaran rasmi NSTDP, sukan sepak takraw kini berada di landasan baharu yang lebih tersusun dan mampan, sekaligus membuka lembaran baharu dalam usaha mengangkat kembali martabat Malaysia sebagai kuasa besar dalam arena sepak takraw dunia.
Dalam pada itu, memetik laporan media pada Selasa memaklumkan bahawa Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memperuntukkan RM1.5 juta setahun kepada PSM bagi melaksanakan NSTPD.
Menurut Hannah, peruntukan berkenaan akan dimanfaatkan sepenuhnya di peringkat akar umbi bagi melahirkan lebih ramai bakat baharu dalam sukan tradisi itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram