
TERENGGANU FC (TFC) berdepan tamparan hebat apabila dikatakan digantung oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) selepas tersebar satu tangkap layar memaparkan status semasa kelab Pantai Timur berkenaan.
Menerusi hantaran dikongsi laman penyokong skuad Sang Penyu iaitu Terengganu 11 pada Isnin memaparkan tarikh penggantungan Terengganu bermula 14 April 2025. Namun, belum ada sebarang penjelasan kelab berhubung dakwaan itu setakat ini.
Penyokong mendakwa penggantungan itu berlaku mungkin disebabkan pendedahan oleh penyerang import Terengganu, Ivan Mamut yang mendakwa tidak dibayar gaji sebanyak sembilan bulan meskipun tidak menyebut secara langsung mengaitkan kelab berkenaan.
BACA LAGI: Ivan Mamut luah kecewa, gaji tak dibayar lebih 9 bulan
Menerusi tangkap layar dokumen dikongsikan, Terengganu berkemungkinan akan digantung daripada mendaftarkan pemain selama tiga jendela perpindahan iaitu dua untuk musim 2025/2026 dan satu pada musim 2026/2027.
Setakat ini, pihak pengurusan Terengganu FC belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai isu berkenaan namun para penyokong Sang Penyu mula meluahkan kekecewaan di media sosial.
Penyokong menuntut ketelusan daripada pihak kelab dalam menyelesaikan masalah kewangan serta memperbaiki urus tadbir dalaman bagi mengelakkan kejadian sama berulang dan menjejaskan prestasi pasukan dalam saingan liga tempatan.
Isu tunggakan gaji Mamut dikaitkan dengan perkara berkenaan selepas pemain berusia 28 tahun tersebut bersedia membawa perkara itu ke FIFA jika tiada penyelesaian dicapai dalam masa terdekat bersama pihak pengurusan.
Tangkap layar hantaran dari Terengganu 11.
"Saya masih belum menerima gaji selama lebih sembilan bulan. Saya lihat rakan sepasukan dibayar, tetapi saya diketepikan. Saya tidak pernah bersikap tidak profesional kerana saya ada dokumen, ada kontrak. Ia memang tidak adil.
"Saya perlu menjawab kepada keluarga saya. Ia memberi kesan kepada kesihatan mental saya. Saya berdiam diri sebelum ini, tetapi sekarang saya perlu lindungi nama saya," tambah pemain berkenaan.
Selepas musim 2023 yang cemerlang ketika dia muncul sebagai penjaring terbanyak Terengganu dengan 23 gol dalam semua perlawanan, harapan tinggi diletakkan ke atas Mamut untuk terus menyinar pada musim 2024.
Namun, kecederaan Achilles yang dialami olehnya menjadi tamparan hebat apabila memaksanya berehat sepanjang musim.
“Kakitangan kelab banyak membantu saya semasa pemulihan, tetapi kesakitan itu amat tidak tertanggung. Jadi saya mengambil keputusan untuk berehat dengan satu matlamat iaitu kembali cergas sepenuhnya untuk musim 2025/26,” kata penyerang setinggi 1.92 meter itu.
Jodoh Mamut bersama Terengganu FC berakhir. — Instagram/ivanmamut31
Mamut menafikan dakwaan bahawa ketidakhadirannya berpunca daripada kekecewaan terhadap pemergian bekas jurulatih, Tomislav Steinbruckner.
“Ada yang kata saya sihat tapi enggan bermain kerana Steinbruckner sudah tinggalkan Terengganu. Itu tidak benar. Kecederaan Achilles saya ambil masa untuk sembuh dan ia hanya pulih sepenuhnya selepas saya kembali ke Croatia dan menjalani terapi yang betul selepas musim tamat,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Operasi (COO) Terengganu, Mohd Syahrizan Mohd Zain berkongsi bahawa kontrak Mamut telah tamat pada 30 April dan pihaknya akan menyemak semula perkara tersebut jika ada urusan yang belum diselesaikan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram