Bekas coach KDA FC B dilantik Pengarah Teknikal Penang FC


  • Podium
  • Isnin, 05 Mei 2025

Rosle Md Derus sah menggalas peranan sebagai Pengarah Teknikal Penang FC yang baharu. — Facebook/Penangfc

BEKAS jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC) B, Rosle Md Derus kini sah dilantik sebagai Pengarah Teknikal baharu Penang FC.

Pelantikan itu diumumkan secara rasmi oleh pihak pengurusan Sang Harimau Kumbang menerusi satu kenyataan yang disiarkan di platform rasmi kelab pada Isnin.

"Penang FC dengan ini ingin mengumumkan pelantikan Rosle Md Derus sebagai Pengarah Teknikal baharu kelab bagi memperkukuhkan lagi struktur teknikal dan pembangunan bola sepak Harimau Kumbang menjelang musim akan datang.

BACA LAGI: Jangan tinggalkan Malaysia, Ivan Mamut calon striker terbaik kelab Borneo-Pahang-Melaka, asalkan isu gaji tak berulang

BACA LAGI: 'Satu hati demi Perak FC', tubuh koperasi jadi harapan demi hidupkan semula TBG

"Berpengalaman luas dalam bola sepak tanah air, Rosle membawa bersama rekod pencapaian yang mengagumkan baik sebagai pemain mahupun jurulatih.

"Ketika zaman kegemilangannya, Rosle pernah mewakili skuad kebangsaan dalam kejohanan berprestij seperti Piala Dunia Remaja FIFA 1997 dan Kelayakan Sukan Olimpik 2000, selain membantu Kuala Lumpur dan Perlis menjulang trofi Piala Sumbangsih, Piala Malaysia serta Liga Super," katanya.

Sebagai jurulatih, Rosle dikenali sebagai individu berwibawa dan komited terhadap pembangunan bakat muda.

Rosle dilantik menggantikan penyandang jawatan sebelum ini, bekas tonggak import Penang, Merzagua Abderrazak.

Tambah kenyataan itu, dengan latar belakang akademik dalam bidang Sains Sukan serta memegang lesen kejurulatihan A, B dan C, Rosle turut mempunyai lebih dua dekad pengalaman dalam pembangunan pemain dan aspek taktikal pasukan.

"Pengurusan Penang FC percaya bahawa kehadiran Rosle bukan sahaja akan memperkukuh prestasi skuad utama, tetapi turut membantu membina ekosistem akar umbi yang mampan dan berdaya saing untuk jangka masa panjang.

“Kami mengalu-alukan kehadiran Coach Olie ke dalam keluarga Penang FC dan mendoakan kejayaannya dalam memikul tanggungjawab besar ini,” menurut kenyataan kelab itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram