
KHABAR angin mengenai perpindahan pemain semakin rancak diperkatakan di media sosial ketika beberapa kelab dijangka melakukan rombakan besar menjelang musim baharu.
Terbaharu, pemerhati sukan tanah air, T. Avineshwaran, mendedahkan bahawa juara Liga A1 Semi Pro 2024, Melaka FC sedang merancang untuk memperkukuh skuad mereka dengan menyasarkan tiga pemain tempatan berpengalaman.
Tiga pemain tersebut merupakan tonggak Sri Pahang FC dan Sabah FC.
BACA LAGI: [VIDEO] Pilihan bijak misi Asia, Alvin Fortes-Noor Al-Rawabdeh kekal tonggak import Gergasi Merah
“Difahamkan bahawa Melaka berhasrat untuk menandatangani tiga pemain.
“Mereka ialah pemain bek kiri Pahang, Syazwan Andik, pemain sayap Pahang, T. Saravanan dan pemain tengah Sabah FC, Irfan Fazail," katanya.
Jika khabar itu menjadi kenyataan, langkah Melaka FC membawa masuk ketiga-tiga pemain ini menunjukkan kesungguhan kelab tersebut untuk menjadi pencabar serius dalam saingan yang lebih kompetitif musim depan.
Syazwan Andik cukup dikenali dengan pengalaman luas di pentas domestik, manakala T. Saravanan semakin menunjukkan kematangan dalam permainan.
Irfan Fazail pula memiliki kelebihan sebagai pemain tengah yang kreatif dan berpengalaman luas di peringkat tertinggi.
Malah, Irfan sebelum ini dikhabarkan bakal meninggalkan pasukan Borneo itu untuk mencari angin di tempat baharu.
Rancangan agresif itu juga mencerminkan keinginan Melaka FC untuk membina pasukan seimbang yang bukan sahaja berdaya saing, tetapi juga mampu menyesuaikan diri dengan tekanan di peringkat liga utama. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram