
PERAK FC secara rasminya menarik diri dari saingan Liga Super musim depan kerana isu kewangan.
Perkara itu dimaklumkan dalam kenyataan yang dikongsikan Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Azim Zabidi pada Sabtu.
Beliau memaklumkan bahawa mereka sudah melakukan yang termampu untuk membangunkan skuad The Bos Gaurus (TBG) termasuk membelanjakan hampir RM40 juta.
BACA LAGI: ‘Pray for Kedah’, cinta bekas import Sang Kenari masih mekar, sempat titip doa
BACA LAGI: 'Terima kasih Perak,' fans restu Haziq Nadzli tukar angin ke kelab Borneo
Perak FC sah tidak beraksi saingan Liga Super musim depan. — Facebook/Perakfc
"Kepada penyokong dan peminat setia kami yang dikasihi, dengan hati yang amat berat, kami ingin mengumumkan bahawa perjalanan ini telah sampai ke penghujungnya, kami secara rasmi menarik diri daripada saingan Liga Super musim depan sekali gus menamatkan perjalanan Perak FC.
"Kami bermula dengan impian besar untuk membina sesuatu yang mampan dan boleh dibanggakan rakyat Perak. Kami percaya bahawa dengan sokongan anda, kami dapat mewujudkan kelab yang bukan sahaja kompetitif, tetapi berteraskan semangat komuniti dan kecintaan terhadap bola sepak.
"Kami mengambil alih kelab ini dengan beban hampir RM8 juta hutang gaji. Kami sudah menyelesaikan hutang itu dan kami memberikan segala-galanya termasuk masa, keyakinan dan hampir RM40 juta dalam tempoh tiga tahun.
"Namun, realitinya sokongan yang kami perlukan tidak berkembang seperti yang diharapkan. Sokongan daripada sektor awam dan swasta di Perak tidak hadir dan pertumbuhan yang dijangkakan dalam jumlah langganan TBG juga jauh dari sasaran.
"Dana dalaman kini sudah habis dan kami tidak mampu untuk teruskan lagi," katanya.
Pemain Perak FC bergambar selepas aksi terakhir menentang Sabah FC saingan Liga Super. — Facebook/Perakfc
Pada masa sama, Azim turut menjelaskan bahawa pasukan akan terus beroperasi untuk menjual baki barangan kelab demi mengumpul dana bagi tujuan menyelesaikan tunggakan gaji.
"Segala dana yang masih berbaki, daripada hasil jualan barangan, bayaran liga dan bajet akhir kami akan digunakan sepenuhnya untuk melunaskan segala hutang yang masih tertunggak. Ia mungkin tidak mencukupi, tetapi itu sahaja yang tinggal.
"Pasukan kami akan terus beroperasi untuk menjual barangan rasmi yang masih ada, sebagai usaha terakhir mengumpul dana demi menunaikan kewajipan yang masih tertunggak.
"Setiap sen yang dikumpul akan digunakan untuk membayar tanggungan, sama seperti tiga tahun yang lalu yang mana setiap pendapatan kami digunakan sepenuhnya demi kebajikan dan kelangsungan operasi kelab ini.
"Ini bukan pengakhiran yang kami impikan, tetapi kami telah lakukan segala yang termampu. Terima kasih kerana terus berdiri bersama kami, para penyokong sejati dalam suka mahupun duka.
"Kami tidak akan pernah melupakan sorakan anda, rasa bangga yang anda bawa dan kasih sayang yang tidak pernah pudar," ujarnya.
Terdahulu, timbul dakwaan bahawa Perak FC akan dibubarkan dan tidak menyertai saingan Liga Super musim depan, dengan spekulasi tersebut hangat diperkatakan di media sosial. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram