
MENJELANG perlawanan akhir Piala Malaysia 2024 yang akan menyaksikan Sri Pahang FC berdepan juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) pada 26 April nanti di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, pemerhati bola sepak tanah air meluahkan kebimbangan terhadap mentaliti penyokong Tok Gajah yang dilihat semakin merosot.
Hal ini berikutan hanya 11,400 daripada 33,600 tiket yang diperuntukkan kepada Kelab Bola Sepak Sri Pahang (SPFC) terjual, dengan baki 22,200 tiket masih belum dibeli.
Menurut pemerhati sukan tanah air, Prof Madya Zulakbal Abd Karim, ketidaktentuan masa depan pasukan, termasuk spekulasi tentang kemungkinan Sri Pahang tidak lagi beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M) pada musim depan telah memberi kesan terhadap semangat para penyokong.
BACA LAGI: Sebelum tercalon di Kedah tapi tiada rezeki, kali ini milik saya — Aidil Sharin
BACA LAGI: Fernando Welter buktikan kualiti bersama The Cats selepas gagal pikat The Panthers
Sesi latihan Tok Gajah sebelum ke SNBJ untuk final Piala Malaysia bertemu JDT. — Facebook/Sripahangfc
"Pendapat saya, mentaliti pasukan merosot kerana ke tidaktentuan masa depan Pahang yang dikatakan akan tutup musim depan dan ini membuatkan penyokong hilang semangat,” katanya kepada Majoriti.
Jelas Zulakbal, penyokong Tok Gajah kini sudah dapat menjangka pasukan mana yang akan menang, sekali gus membuatkan mereka jemu dengan dominasi kelab sama menjadi juara.
“Ya, penyokong sudah jangka pasukan mana yang akan menang, cuma mereka tidak dapat lagi meneka berapa skor akhir dan sememangnya muak dengan pasukan yang sama saja juara.
"Keadaan ini perlu diubah untuk mengembalikan semangat penyokong hadir ke stadium,” tambahnya.
Prof Madya Zulakbal Abd Karim.
Bagaimanapun, Zulakbal optimis bahawa final Piala Malaysia 2024 boleh menjadi platform untuk kedua-dua pasukan menunjukkan prestasi yang memukau.
Menurutnya, kedua-dua pasukan perlu menampilkan aksi yang hebat bagi menarik semula penonton ke stadium dan menghidupkan semula kegemilangan bola sepak Liga M yang kini semakin pudar.
“Saya harap kedua-dua pasukan boleh menampilkan prestasi yang memukau dan berupaya mengembalikan penonton ke stadium, kembali berpusu-pusu seperti dahulu.
"Inilah peluang terbaik untuk mengembalikan kegemilangan liga kita yang semakin pudar,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram