
BEKAS jaguh taekwondo negara, Elaine Teo Shueh Fhern tampil berkongsi kisahnya sebaik pengumuman keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 dengan menzahirkan rasa bangga terhadap pencapaian adiknya yang memperoleh 10A dalam peperiksaan tersebut.
Dalam masa sama, Elaine turut menitipkan pesanan bermakna buat para pelajar yang mungkin tidak mencapai keputusan cemerlang agar tidak mudah berputus asa, sebaliknya terus berusaha dan percaya bahawa setiap individu memiliki laluan dan rezeki yang berbeza.
Elaine yang berjaya melayakkan diri ke Sukan Olimpik Athens 2004 dan Beijing 2008 mendedahkan bahawa dirinya hanya sempat membuat persiapan SPM selama sebulan selepas menyertai kejohanan sukan yang dikongsikan menerusi satu hantaran di laman Facebook miliknya.
BACA LAGI: Fernando Welter buktikan kualiti bersama The Cats selepas gagal pikat The Panthers
BACA LAGI: [VIDEO] Faham soalan bahasa Thai, Ubai seperti sudah ada destinasi baharu jika tinggalkan Terengganu
"Selepas menang pingat emas di Brunei, saya terus fokus kepada SPM. Masa itu tinggal sebulan saja lagi.
"Keputusan saya? Bagi saya dan keluarga, okay saja cuma subjek Bahasa Melayu kena ulang untuk kertas Julai dua kali. Jadi, saya ambil peperiksaan itu sebanyak tiga kali,” katanya.
Pemenang pingat emas Sukan SEA Brunei 1999, Elaine Teo.
Mengenang kejayaan adiknya yang meraih keputusan cemerlang, Elaine secara berseloroh turut mempersoalkan dirinya sendiri.
"Tapi bila tiba giliran adik pula ambil SPM, dia dapat 10A! Masa itu terdetik juga.
"Eh, kenapa adik boleh score? Soalan senang ke atau Elaine yang tak cerdik? Tapi saya percaya, setiap orang ada jalan masing-masing,” ujarnya.
Walaupun keputusan akademiknya tidak seberapa jika dibandingkan, Elaine tidak pernah menyesali perjalanan yang dilalui.
Malah, beliau menganggap dirinya bertuah kerana berpeluang melanjutkan pengajian di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ), Kuala Lumpur sebelum menyambung pengajian ke Universiti Putra Malaysia (UPM).
Menariknya, beliau berada di UPM selama 11 tahun, bukan kerana gagal, tetapi kerana komitmen penuh terhadap dunia sukan termasuk mewakili negara ke kejohanan bertaraf dunia serta menjalani latihan intensif di luar negara.
“Saya tak pernah anggap diri saya gagal. Yang penting, kita tahu apa tujuan hidup, terus berusaha dan sentiasa mahu berkembang,” tambahnya lagi.
Elaine turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua calon SPM, dengan penegasan bahawa keputusan peperiksaan bukanlah penamat, sebaliknya merupakan permulaan kepada perjalanan hidup yang sebenar.
Sebagai langkah memberi inspirasi dan bimbingan kepada belia, beliau turut membuka ruang kepada mereka yang ingin meneroka potensi diri dan mencipta masa depan lebih baik untuk menyertai inisiatif bimbingan dan perkongsian pengalaman yang dikendalikannya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram