
SIAPA kata nak cantik kena mahal? Dalam dunia dekorasi rumah, elegan itu bukan tentang harga, sebaliknya ia tentang cita rasa, kreativiti dan susun atur yang praktikal.
Dengan sedikit sentuhan bijak dan beberapa helah mudah, anda boleh mencipta suasana rumah yang bukan sahaja sedap mata memandang, tapi juga tidak menipiskan dompet.
Berikut beberapa tip dan elemen penting yang boleh membantu mengubah kediaman anda menjadi ruang impian secara cost-effective namun tetap kelihatan eksklusif serta mahal.
BACA LAGI: 5 trend reka bentuk dan seni bina masa hadapan, sarat elemen emosi, mesra alam
Warna-warna neutral seperti putih, kelabu muda dan biru gelap atau 'navy' memberikan kesan eksklusif dan 'clean'.
1. Mainan warna neutral dan lembut
Bayangkan melangkah ke ruang tamu yang tenang dan bergaya, dikelilingi oleh tona warna yang harmoni, pencahayaan lembut dan susunan perabot yang seimbang.
Semuanya tanpa perlu berbelanja besar. Kunci utama kepada dekorasi jimat tetapi elegan adalah memanfaatkan apa yang anda sudah miliki.
Namun anda kena bijak menambah elemen tertentu seperti tambahan dekorasi pada harga berpatutan selain bijak memilih gaya yang tak lapuk dek zaman.
Lilin aromaterapi boleh menjadi item dekorasi yang mudah diperoleh dan tidak mahal untuk dibeli. — Pininterest
Salah satu ialah dengan bermain dengan warna-warna alam. Rona neutral seperti putih, beige, kelabu muda, biru gelap atau navy memberikan kesan eksklusif serta 'clean'.
Warna lembut itu memberi ilusi ruang yang lebih luas dan kemas tanpa anda perlu mengecat seluruh rumah.
Cukup sebahagian dinding utama sebagai feature wall, dengan padanan langsir sheer, sarung kusyen atau karpet dalam tona senada bagi menyatukan keseluruhan elemen berkenaan.
Contoh mudah boleh dilihat andai dinding putih 'dibangkitkan' menerusi kemasan hitam atau emas pada bingkai gambar atau cermin yang mampu memberikan suasana kontemporari namun elegan.
Bingkai gambar dengan kata-kata motivasi antara hiasan mudah yang menarik untuk diketengahkan.
2. Pilih aksesori ringkas tapi menyerlah
Anda tidak perlukan terlalu banyak hiasan, cukup beberapa barangan yang dipilih dengan teliti dan diletakkan secara strategik.
Contohnya, pasu bunga tinggi, dulang emas kecil di meja kopi atau lilin aromaterapi. Semua ini boleh dibeli di kedai jimat seperti Mr. DIY, EcoShop, Kaison atau secara dalam talian di Shopee.
Anda juga boleh DIY hiasan seperti bingkai gambar dengan kata-kata motivasi atau bunga kering yang dibingkaikan.
Sentuhan kecil itu memberi karakter dan sentuhan peribadi kepada ruang tanpa menyebabkan ia tampak serabut atau berlebihan.
Cermin sangat ‘Instagrammable’ dan menjadikan ruang nampak lebih moden dalam gambar!
3. Manfaat pencahayaan dan cermin
Bercakap tentang cermin, ia satu trik klasik yang sangat jimat tapi sangat berkesan untuk menjadikan ruang kelihatan lebih lapang.
Cermin besar atau beberapa cermin kecil yang disusun cantik pada dinding bukan saja memantulkan cahaya dan buat ruang nampak lebih luas, tapi juga memberi sentuhan sofistikated.
Cermin dengan bingkai minimalis emas atau hitam memberikan efek mewah yang sangat sesuai untuk ruang tamu, bilik tidur bahkan ruang makan.
Bonusnya, cermin lagi-lagi yang tengah 'in' ketika ini seperti cermin asimetri juga sangat ‘Instagrammable’ dan menjadikan ruang anda nampak lebih moden dalam gambar!
Lampu kuning lembut boleh menjadikan ruang nampak lebih mewah dan nyaman.
4. Pencahayaan yang bijak dan lembut
Penggunaan lampu kuning lembut (warm white) berbanding lampu putih terang boleh menjadikan ruang nampak lebih mewah dan nyaman.
Letakkan lampu di sudut strategik seperti tepi sofa, berdekatan cermin atau atas meja sisi untuk suasana yang cozy dan menenangkan.
Anda juga boleh menambah lampu meja, lampu lantai atau lampu dinding dengan reka bentuk yang menarik untuk memberikan efek layered lighting.
Lampu gantung moden atau candelier mini di ruang makan juga boleh menukar mood ruang tanpa memerlukan kos tinggi yang mana banyak pilihan di pasaran kini tampil dengan gaya mahal tapi menawarkan harga jimat.
Kayu palet boleh dijadikan meja kopi dan kerusi lusuh memberi suntikan tersendiri kepada ruang kediaman.
5. Perabot guna-pakai atau DIY
Perabot terpakai juga satu cara jimat yang ramai terlepas pandang. Dewasa ini, banyak perabot second-hand masih dalam keadaan baik boleh dibeli dengan harga sangat murah di marketplace seperti Mudah.my, Facebook Marketplace atau kedai barangan terpakai.
Dengan sedikit kreativiti, anda boleh upcycle atau memberi nafas baru seperti cat semula, tukar pemegang laci, atau balut dengan pelekat vinyl bercorak marble atau kayu.
Rak buku lama boleh dijadikan hiasan, kayu palet boleh dijadikan meja kopi dan kerusi lusuh boleh nampak baru sekali gus menyuntik estetika tersendiri kepada ruang kediaman.
Dengan sedikit kreativiti, terhasilnya seni menghias rumah dengan bajet rendah tetapi mampu memberi impak maksimum.
Karpet atau permaidani yang lembut dengan corak sederhana boleh menjadi titik fokus utama dalam ruang tamu.
6. Pemilihan karpet serta gabungan elemen semula jadi
Karpet dan elemen semula jadi adalah dua komponen dekorasi yang bukan sahaja mampu menaikkan seri ruang, malah memberi aura tenang dan menyegarkan.
Karpet atau permaidani yang lembut dengan corak sederhana boleh menjadi titik fokus utama dalam ruang tamu, selain berfungsi sebagai pemisah visual dalam rumah berkonsep terbuka.
Ia juga membantu ‘mengikat’ keseluruhan susun atur perabot supaya tampak lebih tersusun dan harmoni.
Tidak perlu berbelanja besar dengan bajet serendah RM100, anda sudah boleh mendapatkan karpet moden yang kelihatan eksklusif dan selesa di kaki.
Bagi melengkapkan suasana, elemen semula jadi seperti tanaman hijau, bunga segar atau pokok tiruan berkualiti tinggi boleh diintegrasikan dalam ruang.
Tumbuhan seperti monstera, lidah jin atau pokok duit-duit bukan sahaja mudah dijaga, tetapi mampu menghidupkan ruang dengan nafas baru yang lebih segar.
Gabungan bahan semula jadi seperti rotan, kayu dan buluh pula menambahkan elemen elegan yang bersahaja, menjadikan ruang tampak lebih ‘hidup’ dan dekat dengan alam sesuai untuk gaya moden tropikal yang kini semakin digemari.
Elegan bukan soal harga sesuatu barang, tetapi tentang susun atur dan padanan perabot secara harmoni.
7. Susun atur lebih bijak dengan ruang teratur
Kadangkala, keindahan sesebuah ruang bukan bergantung kepada barangan mewah atau baru semata-mata, tetapi terletak pada seni menyusun atur dengan bijak.
Menggunakan item sedia ada dan mengurangkan perabot berlebihan dapat memastikan setiap sudut rumah memiliki fungsi atau cerita tersendiri.
Selain itu, mengaplikasikan elemen penyimpanan antara langkah bijak dalam susun atur.
Gunakan bakul rotan, kotak hiasan dan rak terbuka bukan sahaja mencipta suasana lebih lapang dan teratur, malah memancarkan ketenangan dan keanggunan yang autentik.
Apabila ruang teratur, rumah akan nampak lebih lapang, kemas dan memberi aura yang lebih tenang dan itu sendiri adalah definisi elegan sebenar.
Elegan bukan soal berapa mahal sesuatu barang, tapi bagaimana kita menyusun dan memadankan semuanya dengan harmoni.
Dengan gabungan warna neutral, pencahayaan lembut, aksesori ringkas, elemen semula jadi dan susun atur kemas, rumah anda boleh kelihatan mewah walaupun dengan bajet kecil.
Paling penting, jangan takut untuk bereksperimen dan gunakan kreativiti anda kerana kediaman yang cantik adalah rumah yang mencerminkan jiwa pemiliknya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram