
KEM Kedah Darul Aman FC (KDA FC) kini boleh menarik nafas lega apabila muncul sinar harapan melalui potensi kehadiran penaja baharu yang dijangka mampu menyelamatkan masa depan kelab.
Perkembangan positif itu muncul selepas pemilik Bieziy Production yang juga duta KDA FC, Mohd Irshad Shafiq memberi harapan baharu dan semangat kepada penyokong setia Sang Kenari.
Dalam satu hantaran di Facebook, Irshad memuat naik gambarnya bersama pemilik saham terbesar KDA FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar, dengan kapsyen yang memberi bayangan jelas mengenai perbincangan penajaan untuk musim hadapan.
BACA LAGI: 'Bukan rezeki kami di Kedah', Syafiq Ahmad beri hint tinggalkan Sang Kenari buat kali ke-3
Sang Kenari dikatakan bakal memiliki penaja baharu musim depan. — Facebook/KDAFC
"Alhamdulillah selesai perbincangan bersama Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar bersama bakal penaja Kedah Darul Aman FC untuk musim hadapan.
"Insya-ALLAH kami akan buat terbaik untuk KDA FC musim depan, sama-sama kita doakan semoga dipermudahkan segala urusan. Amin.
"Kita akan kembalikan zaman kegemilangan Kedah Darul Aman FC seperti dahulu," katanya.
Hantaran tersebut segera menarik perhatian peminat yang melihatnya sebagai petanda awal akan kehadiran suntikan dana baharu, sekali gus memberi nafas baharu kepada kelab yang sebelum ini bergelut dengan isu kewangan dan pengurusan.
Sekiranya perbincangan itu membuahkan hasil, penaja baharu tersebut dijangka menjadi 'nyawa kedua' buat KDA FC untuk kembali bersaing secara kompetitif dalam saingan Liga Malaysia musim depan.
Kehadiran dana baharu mampu memperkukuh aspek pengurusan, gaji pemain, serta pembangunan pasukan secara keseluruhan.
Secara tidak langsung, ia juga dapat menghidupkan semula impian dan harapan penyokong setia Sang Kenari yang ingin melihat kebangkitan semula pasukan kesayangan mereka ke era kegemilangan seperti suatu ketika dahulu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram