DI atas kertas, kemenangan dilihat lebih menyebelahi Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam perlawanan akhir Piala Malaysia 2024 menentang Sri Pahang FC di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 26 April depan.
Skuad Harimau Selatan mencatatkan rekod yang cukup cemerlang dengan tidak pernah tewas dalam perlawanan Liga Malaysia musim ini.
Dengan rekod yang cukup sempurna dan kukuh itu, tugas berat pastinya menanti skuad Tok Gajah untuk meraih keputusan positif dalam aksi final tersebut.
BACA LAGI: 'Frust' berbulan tak terima gaji, staf Kedah sertai ‘flop’ JDT di Indonesia
BACA LAGI: 'Nama besar, hidup tak berlagak', Arif Aiman raih pujian kekal bersederhana

Kpah Sherman dijangka tidak akan turun beraksi dalam perlawanan akhir Piala Malaysia bertemu JDT. — Facebook/Sripahangfc
Pemerhati sukan tanah air, Afiq Rowley berpendapat bahawa ia akan menjadi sangat sukar bagi Sri Pahang untuk merealisasikan impian bergelar juara.
Apatah lagi jika melihat kepada rekod pertemuan Liga Super, anak-anak buah Fandi Ahmad tidak pernah menang dalam mana-mana aksi musim ini.
"Jika dilihat atas kertas, sukar untuk Sri Pahang melakar kejuaraan. Rekod pertemuan beberapa musim ini juga memihak kepada JDT.
"Paling ketara, JDT hadir dengan kekuatan penuh, sementara Sri Pahang tempang tanpa dua atau tiga pemain utama," katanya kepada Majoriti.
Namun, Afiq tidak menolak sebarang kemungkinan sekiranya Sri Pahang mampu bangkit untuk mencipta keajaiban dengan bergelar juara Piala Malaysia musim ini.
"Tetapi, dalam bola sepak segalanya boleh berlaku. Kejutan sudah pun dicipta Sri Pahang sebelum ini untuk ke final. Jadi mana tahu Sri Pahang boleh lakar kejutan lagi?," ujarnya.

Hidalgo (kiri) yang merupakan pemain pinjaman dari JDT dijangka tidak turun beraksi membantu Tok Gajah. — Facebook/Sripahangfc
Mengenai strategi yang boleh diterapkan Sri Pahang berdepan juara bertahan, Afiq berpendapat bahawa disiplin adalah kunci utama untuk memastikan pasukan mengekalkan prestasi dan mengelakkan kesilapan mudah.
"Pastinya disiplin permainan. Elak daripada membuat kesilapan tak sepatutnya dan jangan gugup selain mereka perlu mengikut segala percaturan ditetapkan oleh jurulatih.
"Kekuatan utama JDT adalah kreativiti serangan dan penguasaan permainan, pastinya siri pertahanan Sri Pahang perlu sentiasa bersiap siaga dan jangan rakus untuk terus mendapatkan gol," jelasnya.
Mengulas mengenai ketiadaan dua tonggak utama Sri Pahang, Kpah Sherman dan Manuel Hidalgo, Afiq berharap pengganti mereka dapat memberikan impak positif dan mencipta kejutan untuk pasukan.
"Pastinya. Tanpa Kpah dan Hidalgo ia tampak sukar buat Tok Gajah kerana kedua pemain ini yang 'carry' siri serangan dan kreativiti Sri Pahang.
"Harapan, pemain pengganti mampu cipta impak positif," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
