MUTU penganjuran pertandingan peringkat amatur dan belia dalam negara masih tidak terlepas dari sebarang kontroversi sehingga masalah tersebut boleh mematahkan semangat anak-anak muda yang baru berjinak dalam sukan masing-masing.
Berdasarkan keluhan yang kerap dikongsikan di media sosial, isu yang kerap berbangkit adalah berhubung sikap lepas tangan daripada pihak penganjur dalam menyelesaikan setiap masalah.
Hal berkenaan terjadi baru-baru ini apabila ibu bapa dan jurulatih kecewa dengan pertandingan Shah Alam Rugby Challenge yang boleh dikatakan caca marba dan tidak terurus.
BACA LAGI: [VIDEO] ‘Kau makan apa dik?’, pelapis ragbi Johor berbadan sasa walaupun baru darjah 6
BACA LAGI: Tiada sokongan, promosi dari KRM punca ragbi X tidak dikenali ramai — Saho
Antara pasukan muda yang menyertai SARC 2024. — Facebook/Zanita Hazliana
Isu tersebut dibangkitkan sebilangan pengguna Facebook, termasuk Azril Johari yang berang kerana isu bayaran terhadap pengadil menyebabkan pertandingan sukan lasak itu terpaksa dibatalkan.
"Perlawanan sepatutnya bermula pada Jumaat, jadi kami sudah berkampung. Kemudian, kami sudah tunggu sehingga ke Sabtu, namun hanya satu aksi berlangsung pada waktu petang.
"Tetapi, disebabkan pengadil marah disebabkan isu bayaran, mereka beredar walaupun satu perlawanan dijadualkan pada malam. Jadi, ditangguhkan kepada pagi Ahad. Tetapi, selepas berkampung sehingga pukul 12, penganjur mengumumkan ia dibatalkan kerana tiada pengadil," katanya.
Tindakan pihak bertanggungjawab yang gagal menguruskannya dengan baik sememangnya mengundang kekecewaan kerana menurut hantaran itu, terdapat kira-kira 30 pasukan menyertainya.
Pasukan dari MCKK turut menghantar wakil bagi saingan tersebut. — Media sosial
Ini termasuk pasukan dari Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), Victoria Instituion (VI) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Alam Shah (SAS) yang memiliki skuad muda terbaik dalam sukan ragbi.
Seorang lagi pengguna Facebook, Raja Kamarul Azzahar turut meluahkan kekecewaan mengenai penganjuran Shah Alam Rugby Challenge apabila mereka tidak menerima sebarang notis atau penjelasan mengenai situasi sebenar.
Menurutnya, tindakan pengadil yang tidak hadir ke hari terakhir pertandingan bukanlah sesuatu wajar dipersalahkan kerana pihak bertanggungjawab perlu mengendalikannya dengan lebih jelas.
"Dari awal lagi, saya sudah berasakan kejohanan ini sedikit aneh. Saya mencari maklumat seperti jadual perlawanan dan senarai pasukan yang menyertai di dalam talian, namun tiada apa ditemui.
SARC 2024 menyaksikan saingan buat beberapa kategori mengikut peringkat umur. — Facebook/SK Sri Kelana
"Saya juga ada hubungi rakan di Selangor Rugby Union (SRU), namun mereka tidak menerima sebarang informasi mengenainya. Malah, melihat kepada poster, logo SRU tidak disertakan yang menunjukkan pertandingan ini tidak melibatkan organisasi itu," katanya.
Shah Alam Rugby Challenge sebelum ini dijadualkan bermula pada awal Disember, namun masalah berbangkit menyaksikan ia ditunda sehingga ke Jumaat lalu dan berakhir pada Ahad.
Situasi sedemikian sememangnya tidak sepatutnya berlaku, lebih-lebih lagi kerana sebahagian pasukan sanggup membayar yuran penyertaan mencecah RM1,100 untuk berentap.
Malah, permintaan sesetengah pasukan untuk mendapatkan semula wang tersebut turut diendahkan meskipun masing-masing sudah bersedia untuk menarik diri kerana tidak tahan dengan sikap penganjur.
Setakat ini, Majoriti sudah cuba menghubungi Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang merupakan salah sebuah penganjur utama, namun masih tiada sebarang respons diterima. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram