
JOHOR Darul Ta'zim (JDT) musim ini mengeluarkan modal yang banyak merekrut pemain tempatan mahupun import sebagai langkah untuk meneruskan legasi mereka dalam saingan domestik dan juga Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE).
Bagaimanapun, tidak semua pemain Harimau Selatan kekal bersama JDT dek sebahagian mereka dipinjamkan ke kelab lain bagi mendapatkan minit permainan yang lebih konsisten dan pendedahan terhadap intensiti bola sepak yang lebih kompetitif.
Langkah berkenaan ternyata membuahkan hasil apabila mereka berjaya mencipta impak besar dalam pasukan masing-masing, sama ada dari segi gol, bantuan mahupun kepimpinan di atas padang.
BACA LAGI: [VIDEO] JDT tak kebal mana, Kedah antara 4 pasukan tambat seri Harimau Selatan
BACA LAGI: Hampir mustahil kalahkan JDT, elemen kejutan Sri Pahang belum dikesan
Di sebalik kejayaan tersebut, wujud persoalan besar tentang masa depan mereka bersama JDT berikutan keupayaan mereka menyesuaikan diri dan menyerlah di luar negara seolah-olah mengisyaratkan bahawa kepulangan ke Iskandar Puteri bukan lagi pilihan terbaik.
Dengan barisan pemain bintang yang sedia ada di JDT serta strategi kelab yang sering memberi keutamaan kepada pemain import berkelas dunia, peluang untuk ketiga-tiga pemain ini kembali mendapat tempat dalam kesebelasan utama dilihat semakin tipis.
Hal ini mendorong spekulasi bahawa mereka mungkin akan kekal bersama kelab luar, atau melangkah lebih jauh dalam kerjaya profesional masing-masing. Oleh itu, Majoriti menyenaraikan tiga pemain yang dipinjamkan JDT mungkin akan kekal bersama kelab luar negara.
1) Nicolao Cardoso
Cardoso menyertai PSS Sleman pada Julai 2024. — Agensi
Kehadiran penyerang sayap, Nicolao Cardoso dalam JDT boleh diibaratkan sebagai persinggahan semata-mata sebelum meneruskan perjalanan ke Liga Indonesia dengan menyertai PSS Sleman pada Julai 2024.
Walaupun memiliki profil yang cukup mengagumkan dengan pengalaman bersama beberapa kelab ternama dunia, pemain kelahiran Sweden itu tidak pernah membuat sebarang penampilan rasmi bersama Harimau Selatan.
Antara kelab berprestij yang pernah disertai Nicolao termasuk FC Empoli dan SSC Napoli di Itali, Nottingham Forest di England, Suwon Samsung Bluewings di Korea Selatan serta Buriram United di Thailand.
Persaingan sengit dalam skuad JDT, terutama di posisi serangan menyukarkan Cardoso untuk menembusi kesebelasan utama. Ketidakupayaan untuk menyerlah dalam sesi latihan dan perlawanan pramusim memaksa kelab menghantarnya secara pinjaman Sleman.
Sepanjang 24 penampilan bersama PSS Sleman, pemain berusia 33 tahun itu berhasil mencetak enam gol dan dua bantuan jaringan. Bagaimanapun, sumbangannya tidak mampu menyelamatkan Sleman lari daripada kedudukan terakhir liga.
2) Endrick Dos Santos
Pemain tengah berbakat, Endrick dos Santos dipinjamkan ke Ho Chi Minh City FC dengan ia sebagai satu strategi untuk memberi peluang kepada mendapatkan minit permainan yang lebih konsisten sambil menyesuaikan diri dengan cabaran baharu di liga serantau.
Endrick yang terkenal dengan kekuatan fizikal dan kepakarannya mengawal tempo permainan di bahagian tengah, sebelum ini sering menjadi pilihan dalam kesebelasan JDT, namun saingan sengit dalam skuad Harimau Selatan menyaksikan peranannya sedikit tenggelam.
Pemergian ke Vietnam membuka ruang buat Endrick untuk kembali menyerlah, khususnya bersama Ho Chi Minh City FC yang sedang bergelut memperkukuh jentera tengah mereka dalam saingan Liga V.League 1.
Setelah tiba pada Ogos 2024, pemain berusia 30 tahun itu tampil dalam 16 perlawanan liga dan menjaringan dua gol dan empat bantuan jaringan untuk membantu Ho Chi Minh City FC berada pada tangga ke-11 liga.
Sekiranya Endrick mampu menyerlah di Vietnam, tidak mustahil untuk pihak pengurusan kelab berkenaan memberinya kontrak sebagai pemain tetap dan sekali gus meninggalkan Harimau Selatan.
3) Francisco Geraldes
Pemain tengah JDT, Francisco Geralde mencuri tumpuan apabila kelab dari New Zealand, Wellington Phoenix menyatakan hasrat untuk mengekalkannya sebagai pemain tetap bagi menghadapi musim baharu Liga Australia (A-League).
Meskipun hanya menyertai kelab berkenaan secara pinjaman sejak 12 Februari lalu, impak Geraldes cukup untuk meyakinkan pihak pengurusan, Dalam tempoh singkat lima penampilan bersama Wellington Phoenix, Geraldes berjaya merekodkan satu jaringan dan satu bantuan gol.
Geraldes bertindak sebagai pemain tengah kreatif dengan kehadirannya memperkukuh jentera serangan dan memberi keseimbangan taktikal yang jelas kepada pasukan kendalian Giancarlo Italiano.
Italiano menyatakan minat mendalam untuk mengekalkan Geraldes walaupun pemain itu kini mengalami kecederaan serius. Jurulatih itu percaya dia membawa nilai tambah kepada skuadnya dan sanggup menunggu walaupun Geraldes bakal disisihkan selama tiga bulan akibat kecederaan lutut kiri.
Komitmen kelab terhadap pemain berusia 29 tahun berkenaan membuktikan keyakinan mereka terhadap kebolehannya, sekaligus memberi gambaran bahawa rundingan kekal mungkin sedang diatur.
Sebelum dipinjamkan ke Wellington Phoenix, Geraldes turut melalui tempoh pinjaman di kelab La Liga 2, CD Eldense, selepas tampil dalam 10 perlawanan Liga Malaysia bersama JDT di bawah bimbingan Hector Bidoglio. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram