
SRI Pahang FC akhirnya boleh menarik nafas lega selepas mencatat kemenangan besar 6-0 ke atas Kedah Darul Aman FC dalam aksi Liga Super 2024 yang berlangsung di Stadium Temerloh, Pahang pada 8 April lalu.
Kejayaan itu hadir pada waktu yang tepat, lebih-lebih lagi selepas beberapa keputusan liga mengecewakan sebelum ini.
Kemenangan besar ke atas Sang Kenari itu menyaksikan skuad Tok Gajah sepertinya sudah bersedia untuk beraksi di final Piala Malaysia 2024 menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 26 April nanti.
BACA LAGI: [VIDEO] Kedah tidak sendirian, ada lagi 3 kelab lain termasuk Selangor bolos lebih 6 gol musim ini
BACA LAGI: 'Tempoh pinjaman tamat pada Jun', striker muda PSG disebut-sebut ‘on loan’ ke JDT
Prestasi cemerlang penjaga gol Sri Pahang, Azfar Arif dalam memastikan pintu gawang Tok Gajah tidak dibolosi ditagih dalam menghadapi cabaran JDT. — Facebook/Sripahangfc
Bagaimanapun, menurut pemerhati sukan tanah air, Datuk Dr Pekan Ramli, kemenangan itu masih belum mencerminkan persiapan sebenar Sri Pahang untuk berdepan gergasi liga tersebut.
Pekan merasakan bahawa strategi bertahan yang mungkin diterapkan oleh Sri Pahang mungkin tidak cukup untuk menandingi kekuatan JDT.
Selain itu, beliau juga meragui kemampuan Sri Pahang untuk mengejutkan JDT dengan strategi yang ada, memandangkan prestasi tidak konsisten mereka kebelakangan ini.
"Bersandarkan kepada pelbagai sudut kekuatan pasukan dan prestasi Sri Pahang yang tidak konsisten akhir-akhir ini, saya tidak nampak apakah ada elemen kejutan yang boleh dicipta oleh Sri Pahang ke atas JDT.
"Bukan nak memandang rendah tetapi jujur saya katakan ia sesuatu yang mustahil untuk dilakukan," katanya kepada Majoriti.
Sri Pahang masih memiliki senjata rahsia untuk memberi cabaran kepada JDT iaitu pemain naturalisasi Harimau Malaya, Sergio Aguero. — Facebook/Sripahangfc
Pekan berpendapat bahawa jika Sri Pahang menerapkan strategi bertahan, tidak mustahil gawang mereka akan dibolosi, memandangkan JDT terkenal dengan keinginan kuat untuk menjaringkan gol.
Pada masa yang sama, beliau merasakan bahawa apa jua strategi yang digunakan oleh Sri Pahang untuk meraih kemenangan pastinya sukar dicapai.
"Kita tahu tiada satu pun pasukan dalam Liga Malaysia yang dapat menewaskan JDT musim ini. Prestasi mereka jika berada di bawah tahap sebenar sekalipun masih tetap mampu mencatat kemenangan.
"Pasukan yang menggunakan pelbagai strategi untuk bertahan sekalipun hanya sekadar mampu bertahan pada separuh masa sahaja. Selepas itu pintu gol lawan akan mula bocor bertalu-talu.
"Saya dapat rasakan juga walau apa strategi pun yang cuba digunakan oleh Sri Pahang, mereka tidak punyai kekuatan yang seimbang di segenap posisi untuk mengimbangi JDT.
"Hanya yang ada pada Sri Pahang adalah semangat final dan mengulangi magis ketika Piala Malaysia 2014 apabila muncul juara menewaskan JDT 5-3 menerusi sepakan penalti selepas terikat 2-2," ujarnya.
Hidalgo (jersi kuning) dijangka tidak turun beraksi bertemu JDT dan menyebabkan jentera serangan Tok Gajah tumpul. — Facebook/Sripahangfc
Di samping itu, kem Tok Gajah juga terpaksa menelan pahit apabila dua tonggak utama, Kpah Sherman dan Manuel Hidalgo tidak dapat turun beraksi dalam perlawanan akhir tersebut.
Susulan itu, Pekan menambah bahawa kehilangan dua tonggak utama itu memberi kesan kepada jentera serangan Tok Gajah yang dijangka tumpul.
"Ketiadaan Kpah Sherman dan Manuel Hidalgo sudah pasti membuat barisan tengah dan depan Sri Pahang FC menjadi lebih tumpul dan hilang sengat.
"Ini akan memudahkan barisan tengah dan pertahanan JDT untuk mendominasi perlawanan akhir nanti. Saya dapat rasakan bahawa permainan mungkin boleh menjadi berat sebelah.
"Tugas JDT untuk merangkul kejuaraan kali kelimanya pada 26 April ini dilihat menjadi lebih mudah," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram