
PEMAIN tengah Johor Darul Ta'zim (JDT), Francisco Geraldes menarik minat kelab New Zealand iaitu Wellington Phoenix untuk mengekalkannya dan menjadikannya sebagai tonggak tetap pada musim baharu nanti.
Geraldes menyertai Wellington Phoenix pada 12 Februari lalu secara pinjaman dan berjaya merekodkan satu jaringan serta satu bantuan gol dalam lima penampilan bersama kelab yang beraksi di saingan Liga Australia (Liga-A) itu.
Tonggak berusia 29 tahun berkenaan memainkan peranan penting untuk jentera tengah Wellington Phoenix, selain sukses menyumbang satu gol dan satu bantuan jaringan untuk kelab tersebut.
BACA LAGI: [VIDEO] JDT tak kebal mana, Kedah antara 4 pasukan tambat seri Harimau Selatan
BACA LAGI: Hampir mustahil kalahkan JDT, elemen kejutan Sri Pahang belum dikesan
Dia yang bertindak sebagai pemain perancang kreatif itu berhasil menarik minat pengendali kelab iaitu Giancarlo Italiano dengan berpendapat Geraldes akan memberikan satu nilai tambah buat Wellington Phoenix.
"Saya rasa dia (Geraldes) akan menjadi tambahan yang hebat, bukan sahaja untuk pasukan kami tetapi juga untuk A-League secara keseluruhan.
"Anda boleh lihat betapa hebatnya kemahiran yang dia miliki. Dia sangat bagus dalam menggelecek bola, tenang ketika mengawal bola, tidak takut untuk mencabar pemain lawan dan dia juga mampu menjaringkan gol.
"Saya memang mahu dia bersama kami tahun depan. Saya rasa dia akan memberikan impak yang besar. Jika kami boleh menjadikannya kenyataan, kami akan usahakan, tetapi malangnya ia bukan sesuatu yang mudah.
"Masih banyak perkara yang perlu diselesaikan, tetapi niat saya adalah — jika saya boleh jadikannya kenyataan, saya akan lakukannya," memetik kenyataan daripada laman sesawang Wellington Phoenix.
Hasrat Italiano untuk mengekalkan Geraldes tampak serius susulan jurulatih berusia 42 tahun itu masih mahu menjadikannya sebagai pemain tetap walaupun tonggak Harimau Selatan itu akan disisihkan dalam tempoh tiga bulan akibat cedera.
Geraldes terpaksa mengucapkan selamat tinggal lebih awal kepada Wellington Phoenix setelah disahkan mengalami kecederaan serius di lutut kiri yang memaksa dia untuk mendapatkan rawatan dan berehat.
"Ia sangat mengecewakan kerana untuk sebahagian besar masa, Chico telah memberikan dimensi yang berbeza kepada kami. Kami mula membina sedikit kesinambungan dan mula kelihatan sangat berbahaya apabila menyerang ke hadapan.
"Bukan bermaksud kami tidak boleh selesaikan tugasan tanpa Chico, tetapi ia sedikit menjejaskan persiapan kami," jelasnya.
Sebelum bersama Wellington Phoenix, Geraldes dipinjamkan kelab La Liga 2, CD Eldense selepas beraksi dalam 10 perlawanan Liga Malaysia (Liga M) bersama JDT kendalian Hector Bidoglio. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram