
LIVERPOOL mengukuhkan komitmen masa depan Mohamed Salah apabila penyerang Mesir itu menandatangani kontrak baharu selama dua tahun.
Langkah itu disifatkan pengurus baharu Arne Slot sebagai faktor penting untuk menarik pemain baharu ke Anfield musim panas ini.
"Jika saya meletakkan diri saya di tempat pemain yang mungkin kami ingin tandatangani, sudah tentu ia bagus untuk memberitahu mereka bahawa Mo telah melanjutkan kontraknya," ujar Slot pada Jumaat.
Slot turut menggariskan keperluan untuk membawa masuk pemain baharu, khususnya di posisi bek kiri dan penyerang nombor sembilan, bagi memperkuatkan skuad menghadapi musim baharu.
BACA LAGI: Lepas sah kekalkan Salah, Liverpool kian bernafsu sambar bintang Perancis ganti Nunez
Dalam perkembangan lain, Liverpool dilaporkan bersedia untuk memecahkan rekod perpindahan British bagi mendapatkan penyerang Newcastle United iaitu Alexander Isak, menurut laporan media Sepanyol, Fichajes.
Penyerang berusia 25 tahun itu telah menjaringkan 20 gol dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini dan turut dikaitkan dengan Arsenal.
Namun Newcastle bertegas tidak akan melepaskan pemain Sweden itu yang terikat kontrak sehingga 2028.
Sementara itu, Liverpool juga dilapor sedang bersaing dengan Arsenal dalam usaha mendapatkan pertahanan muda Ajax, Jorrel Hato.
Menurut Real Madrid Confidencial, kedua-dua kelab Inggeris itu kini berada di hadapan Real Madrid dalam perlumbaan menandatangani pemain berusia 19 tahun tersebut yang boleh beraksi di posisi bek kiri dan pertahanan tengah.
Pertahanan muda Ajax, Jorrel Hato. — Agensi
Hato dianggarkan bernilai sekitar AS$57 juta (RM270 juta ).
Walaupun berbakat besar, pemain itu dilihat masih muda dan kurang berpengalaman berbanding pemain-pemain sasaran biasa Liverpool.
Selain itu, gaya permainan Hato berbeza dengan pemain sedia ada seperti Andy Robertson.
Spekulasi itu mencerminkan perancangan agresif Liverpool dalam jendela perpindahan musim panas, terutama selepas perubahan besar dalam barisan kejurulatihan dan pengurusan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram