
TONGGAK pertahanan kanan Buriram United, Dion Cools semakin menunjukkan prestasi cemerlang bersama kelabnya di Thailand.
Dalam perlawanan 16 terakhir Piala FA Thailand baru-baru ini, Cools yang diberi peranan sebagai tonggak utama berjaya membantu pasukannya meraih kemenangan ke atas Chiangrai United dengan keputusan 2-1.
Pemain berusia 28 tahun itu meledak gol menarik umpama peluru pada minit ke-42 selepas menerima hantaran bantuan daripada Supachai Jaided.
BACA LAGI: [VIDEO] Tiada import bukan alasan, kudrat 'local' jadi taruhan Kelantan hadapi JDT
Gol cantik yang diledak oleh tonggak Harimau Malaya itu dikongsikan oleh Buriram United di laman YouTube rasmi kelab.
Jaringan Cools itu menyemarakkan semula harapan Buriram selepas ketinggalan 0-1 pada minit ke-17 menerusi gol yang dijaringkan oleh pemain pertahanan Chiangrai, Jordan Emaviwe.
Perlawanan 90 minit berakhir dengan keputusan 1-1, memaksa perlawanan dilanjutkan ke masa tambahan selama 30 minit.
Pemain tengah Thunder Castle, Goran Causic muncul wira dengan menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-111 menerusi sepakan penalti, sekali gus membawa Buriram mara ke suku akhir Piala FA.
Gol yang diledak oleh Cools itu merupakan jaringan keempatnya bersama Buriram bagi saingan musim 2024/2025.
Peranan yang dimainkan Cools di bahagian kanan pertahanan jelas memberi impak besar kepada kelab gergasi Thailand itu, dengan turut mencatatkan lapan bantuan gol setakat ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram