[VIDEO] Kedah tidak sendirian, ada lagi 3 kelab lain termasuk Selangor bolos lebih 6 gol musim ini


  • Podium
  • Khamis, 10 Apr 2025

Sri Pahang berjaya mencatatkan kemenangan besar selepas mudah menewaskan Sang Kenari di laman sendiri. — Facebook/Sripahangfc

BOLOS lebih daripada empat gol mungkin masih boleh diterima oleh penyokong dan pasukan, namun apabila gol melebihi enam jaringan, ia jelas menunjukkan ada masalah serius yang perlu ditangani oleh benteng pertahanan.

Baru-baru ini, kancah bola sepak tanah air dikejutkan dengan keputusan besar yang dilakar oleh Sri Pahang FC ke atas Kedah Darul Aman FC.

Sri Pahang yang hadir dengan kekuatan penuh, pasti tidak mahu mensia-siakan peluang untuk menjaringkan sebanyak mungkin gol, sementara Kedah yang menghadapi masalah dalam barisan pertahanan kelihatan tertekan sepanjang perlawanan.

BACA LAGI: Lawan tenat bukan ukuran Tok Gajah bersedia jumpa JDT di final Piala Malaysia

BACA LAGI: [VIDEO] Bolos 6 gol, fans Sang Kenari puji semangat juang Ifwat Akmal selamatkan penalti Hidalgo

KDA FC hanya membawa 17 pemain ke Stadium Temerloh termasuk hanya seorang penjaga gol yang jelas menunjukkan bahawa pasukan itu berada dalam keadaan kurang baik.

Masalah kekurangan pemain itu memberi gambaran bahawa Sang Kenari sedang melalui fasa sukar yang turut menyumbang kepada keputusan tersebut.

Namun, kejadian tersebut bukanlah satu-satunya perlawanan yang menyaksikan lebih daripada enam gol tercatat musim ini.

Terdapat tiga lagi perlawanan dalam saingan Liga Malaysia yang turut menyaksikan skor lebih dari enam gol, menunjukkan bahawa kebocoran gol yang besar kini menjadi isu yang melibatkan beberapa pasukan dalam liga.

1. Selangor FC

Ingatkah anda dengan kekalahan memalukan Selangor FC apabila mereka tewas 1-6 di tangan juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam perlawanan akhir Piala FA 2024?.

Kekalahan besar itu tercatat di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 24 Ogos 2024 dan ia pastinya akan terus diingati oleh penyokong bola sepak tanah air.

Sebagai pesaing terdekat JDT, kekalahan tersebut amat mengejutkan, lebih-lebih lagi kerana Gergasi Merah sering dianggap sebagai salah satu pasukan gergasi dalam bola sepak Malaysia.

Namun, kekalahan besar itu jelas menutup cerita kehebatan Selangor yang pernah begitu gah di pentas bola sepak tempatan dan kini mereka terpaksa akur dengan keunggulan JDT.

2. Kelantan Darul Naim

Kelantan Darul Naim yang sering dianggap sebagai salah satu pasukan yang lemah dalam Liga M mungkin tidak terkejut dengan kekalahan dalam setiap perlawanan.

Namun, kekalahan memalukan yang mereka alami pada 8 Mac 2025, ketika tewas 0-7 di tangan Selangor FC dalam saingan Liga Super, jelas menyentuh perasaan peminat bola sepak tanah air.

Apa yang lebih memilukan adalah kegagalan pasukan tersebut untuk menahan serangan lawan yang begitu dahaga untuk menjaringkan gol.

Tarikh 8 Mac 2025 mungkin menjadi titik hitam dalam sejarah Kelantan, yang menyaksikan mereka bukan sahaja dibolosi tujuh gol, tetapi juga kehilangan peluang untuk menonjol dalam liga.

3. Kuala Lumpur Rovers

Kekalahan memalukan Kuala Lumpur Rovers di tangan juara bertahan, JDT dengan keputusan 0-6 dalam suku akhir kedua pusingan 16 kelayakan Piala Malaysia 2024 pastinya meninggalkan kesan mendalam buat pasukan itu.

Sebagai wakil kelab Liga A1 Semi Pro, KL Rovers berharap dapat memberikan saingan sengit kepada pasukan-pasukan besar dalam kancah bola sepak Malaysia.

Namun, kekalahan besar 0-6 di tangan JDT pada 30 November 2024 membuktikan betapa besar jurang antara pasukan mereka dan gergasi Liga M seperti JDT.

Lebih menyedihkan, KL Rovers tewas 0-9 secara agregat, satu keputusan yang pasti akan dikenang oleh penyokong bola sepak tempatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram