Maaf Sabah dan Kuching City, Top 3 Liga Super milik Terengganu


  • Podium
  • Jumaat, 04 Apr 2025

Skuad Sang Penyu mampu menamatkan Liga Super di tangga ketiga sekiranya meraih sembilan mata daripada tiga aksi berbaki. — Facebook/Terengganu FC

STATUS juara dan naib juara Liga Super ketika ini sudah diputuskan dengan Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Selangor FC menamatkan kedudukan sebagai dua pasukan teratas.

Namun, debaran masih dirasakan apabila penyokong masih berteka-teki mengenai pasukan manakah yang akan menduduki tangga ketiga pada penghujung musim dengan perebutan tiga penjuru dapat disaksikan.

Kedudukan tersebut kini dimiliki Kuching City FC yang merupakan pakej kejutan bagi saingan Liga Super 2024/25 selepas merekodkan 36 mata daripada 22 perlawanan.

BACA LAGI: Jika ditewaskan Selangor, lupakan peluang ke Top 3 — Badrul Afzan

BACA LAGI: Top 3: Kelebihan pada Sabah FC tapi awas Terengganu FC masih mampu pintas

Kuching City FC dan Sabah FC terus merebut kedudukan tiga teratas Liga Super memasuki penghujung musim.

Bagaimanapun, anak-anak buah Aidil Sharin Sahak itu masih belum selamat kerana Sabah FC dibezakan dengan perbezaan gol sementara Terengganu FC hanya di belakang empat mata.

Jadi, persoalan mengenai kelab manakah yang akan menduduki tangga ketiga masih belum boleh dijawab dengan peminat bola sepak tanah air pasti teruja untuk menyaksikan pengakhirannya.

Tetapi, pada penilaian Majoriti, kelebihan berpihak kepada Terengganu FC yang mahu merebut kedudukan tersebut untuk menimbus kekecewaan dialami di peringkat domestik dan dalam Piala Shopee.

Pandangan itu diberikan kerana terdapat tiga sebab buat pasukan Pantai Timur itu mampu memintas Kuching City FC dan Sabah FC untuk menamatkan saingan dalam kelompok tiga teratas.

1. Baki perlawanan

Daripada aspek baki perlawanan, Kuching City FC merupakan pasukan paling rugi dalam kalangan tiga yang merebut kedudukan itu kerana beraksi lebih satu pertembungan selain perlu berdepan cabaran hebat daripada JDT.

Jadi, kelebihan itu dimiliki Sabah FC dan Terengganu FC yang baru beraksi sebanyak 21 kali, namun manfaat daripadanya lebih berpihak kepada skuad Sang Penyu berdasarkan lawan bakal dihadapi.

Baki perlawanan bakal dihadapi skuad Sang Penyu memberi kelebihan tersendiri. — Facebook/Terengganu FC

Selepas pertemuan dengan Selangor FC pada Sabtu, pasukan Pantai Timur itu akan berdepan PDRM FC dengan kedua-dua aksi berkenaan akan berlangsung sekitar Lembah Klang yang sekali gus mengurangkan jarak perjalanan.

Meskipun kedua-dua kelab itu kerap hadir dengan helah tersendiri, Terengganu FC pasti hadir ke hari perlawanan dengan kesungguhan selepas mengalami satu musim yang kurang memberangsangkan.

Aksi terakhir bagi skuad Sang Penyu bakal menyaksikan mereka menerima kunjungan Kedah Darul Aman (KDA) FC pada 12 April dengan kelebihan beraksi di laman sendiri pasti mahu dimanfaatkan.

2. Berpeluang melakukan penggiliran

Sekiranya hendak membincangkan perihal kualiti pemain, Kuching City FC memiliki sedikit kelebihan kerana pemain utama dalam setiap posisi berada di kelas tersendiri musim ini.

Bagaimanapun, jurang mereka dengan Terengganu FC tidaklah begitu jauh dengan skuad Sang Penyu turut memiliki barisan pemain berkualiti, baik dalam kalangan bintang berpengalaman mahupun 'ubi muda' pasukan.

Sebagai contoh, pasukan itu memiliki lambakan pilihan untuk beraksi sebagai penyerang seperti Ismaheel Akinade dan Nelson Bonilla sementara Safawi Rasid juga beberapa kali diturunkan dengan peranan 'false nine'.

Skuad Sang Penyu memiliki lambakan pilihan yang membolehkan pertukaran pemain lebih kerap. — Facebook/Terengganu FC

Kepelbagaian sebegini tidak dapat disaksikan dalam Kuching City FC mahupun Sabah FC yang terus memberi kepercayaan terhadap tonggak utama, namun kurang menurunkan bakat muda masing-masing.

Penggiliran sebegitu akan membawa kelebihan apabila pemain utama dapat direhatkan daripada perlawanan ke perlawanan yang memberi peluang buat pihak kejurulatihan pasukan menyaksikan persembahan terbaik.

Namun, kelebihan itu perlu dimanfaatkan sebaiknya oleh pengendali Terengganu FC, Badrul Afzan Razali yang perlu memutuskan masa terbaik untuk membuat perubahan pemain dalam perlawanan.

3. Tiada isu pengganti

Jika hendak dibandingkan antara ketiga-tiga pasukan itu, Sabah FC merupakan kelab yang kerap dibelenggu isu kecederaan dengan beberapa nama seperti Darren Lok dan Stuart Wilkin bergelut sejak awal musim.

Bagi Kuching City FC pula, mereka menikmati hal sebaliknya apabila hampir semua tonggak utama cergas untuk membantu pasukan Borneo tanah air itu beraksi cemerlang.

Namun, kelebihan dari segi kecederaan masih dimiliki Terengganu FC yang tidak panik apabila diuji dengan isu kecederaan kerana pihak kejurulatihan bijak mengisi kekosongan ditinggalkan.

Suhaimi (kiri), Alif Zakaria (biru) dan Argzim (atas katil) mengalami kecederaan jangka masa panjang. — Facebook/Hishamuddin Abdul Karim

Kehilangan Suhaimi Husin, Alif Zakaria dan Argzim Redzovic tidak menumpulkan pasukan kerana Badrul Afzan meletakkan pengganti bersesuaian seperti Syed Nasrulhaq, Safwan Mazlan dan Ubaidullah Shamsul Fazili.

Ini merupakan satu bentuk pelaburan jangka masa panjang memandangkan skuad Sang Penyu tidak perlu runsing mengenai bakat dimiliki pasukan dengan masing-masing boleh beraksi dalam tahap tertinggi pada tahun-tahun akan datang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram