
BUKAN sahaja cemerlang di atas padang, tiga bintang Johor Darul Ta'zim (JDT) dilihat tetap menunjukkan sikap rendah diri yang amat dihargai.
Walaupun mereka sering menjadi tumpuan dengan prestasi hebat di atas padang, ketiga-tiga pemain itu tetap mempamerkan sikap yang merendah diri dan profesional.
Ini menunjukkan bahawa kejayaan bukan sahaja diukur dari segi kemampuan teknikal dan prestasi, tetapi juga bagaimana mereka membawa diri dengan penuh hormat.
BACA LAGI: Bukan 100 peratus produk AMD, Arif Aiman lahir hasil bimbingan JDT
BACA LAGI: 'Nama besar, hidup tak berlagak', Arif Aiman raih pujian kekal bersederhana
Sikap rendah diri itu memberi inspirasi kepada pemain muda dan mengangkat imej pasukan JDT yang bukan hanya kuat di atas padang, tetapi juga tinggi dalam moral dan disiplin.
Oleh itu, Majoriti menyenaraikan tiga tonggak utama JDT yang berjaya meraih pujian penyokong tanah air.
1. Bergson temui peminat
Walaupun belum menyarung jersi Harimau Malaya, sikap Bergson da Silva yang begitu menghargai peminat-peminatnya wajar dikagumi, meskipun fokus utamanya adalah kepada kelab yang diwakilinya.
Bakal pemain naturalisasi skuad kebangsaan itu dilihat meraikan kehadiran penyokong Harimau Selatan di hotel penginapan selepas kemenangan pasukannya ke atas Central Coast Mariners pada 11 Februari lalu.
Menerusi video yang dikongsikan di TikTok, beberapa pemain JDT disambut gembira oleh penyokong-penyokong skuad Harimau Selatan yang hadir ke Australia.
Setelah menyambut kedatangan setiap pemain, Bergson akhirnya menyapa mereka dengan bertepuk tangan dan memuji penyokong dengan perkataan 'mantap'.
Walaupun Bergson beraksi hampir 90 minit dalam perlawanan JDT menentang Central Coast Mariners yang berakhir 2-1, pemain berusia 34 tahun itu tetap meluangkan masa untuk meraikan kemenangan bersama peminat-peminat setianya.
2. Feroz ziarah budak-budak
Tonggak pertahanan JDT, Feroz Baharudin terus menunjukkan prestasi cemerlang sebagai pemain utama Harimau Selatan.
Ketenangan dan kekentalannya di atas padang, bersama sikap rendah diri di luar padang, menjadikannya pemain yang dihormati dan aset penting kepada pasukan.
Sebelum ini tular satu video yang dikongsikan pengguna media sosial memaparkan Feroz menyantuni kanak-kanak di sebuah pusat jagaan kanak-kanak.
Dalam video tersebut, Feroz dengan penuh beradab melayani karenah kanak-kanak yang teruja bertemu dengan pemain muda JDT itu, terutama apabila ada yang ingin bermain bola sepak dengannya.
3. Arif tak kisah beraya
Pemain sayap JDT, Arif Aiman Hanapi bukan sahaja terkenal kerana kecemerlangannya di padang, tetapi juga kerana sikap rendah hati dan kesederhanaannya dalam kehidupan peribadi.
Walaupun bergaji tinggi dan terkenal, Arif Aiman tetap mengutamakan nilai kekeluargaan dan tidak berlagak.
Sikap tersebut menjadi contoh teladan kepada golongan muda bahawa kejayaan tidak seharusnya mengubah adab dan hubungan dengan keluarga.
Arif Aiman meraikan Aidilfitri di Kelantan. — Facebook/Mohdfaisal
Baru-baru ini, seorang pengguna media sosial berkongsi bahawa walaupun Arif Aiman sudah menjadi pemain bola sepak yang berjaya, dia tetap tidak lupa asal-usulnya dan menunjukkan sikap tidak sombong ketika beraya bersama keluarga tercinta di Kelantan.
Keperibadiannya yang sentiasa mengutamakan keluarga, termasuk meluangkan masa mengunjungi rumah sanak saudara meskipun hanya diberikan cuti dua hari oleh majikannya, semakin memikat hati ramai. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram