'Jodoh tak panjang', Milligan dilaporkan tinggalkan Harimau Malaya


  • Podium
  • Ahad, 06 Apr 2025

Penolong kepada pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski (kanan) itu sudah dicanang media negara terbabit bakal mengemudi Newcastle Jets selama dua tahun. — Facebook/MalaysiaNT

JODOH bekas pemain kebangsaan Australia, Mark Milligan bersama skuad Harimau Malaya mungkin tidak panjang apabila dia dilaporkan bakal dipinang kelab A-League di Australia iaitu Newcastle Jets.

Berita kurang gembira itu dikongsikan oleh pemerhati sukan tanah air, Zulhelmi Zainal Azam di laman X pada Ahad.

Menurutnya, kem Harimau Malaya bakal kehilangan watak penting dalam membantu skuad kebangsaan mengharungi kempen kelayakan Piala Asia 2027.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Perak FC tak goyah', kekal berjuang hadapi KL City walau diuji isu gaji, hilang tonggak import

BACA LAGI: Sah tak beraksi final Piala Malaysia, fans harap Hidalgo ubati kehilangan Kpah Sherman

“Jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski bakal hilang orang kanan apabila pembantunya Mark Milligan dilapor kembali ke Australia dengan perjanjian menyertai Newcastle Jets hampir selesai menjelang musim baru A-League 2025/26,” tulisnya.

Walaupun tiada sebarang pengesahan lanjut berkaitan khabar angin tersebut namun penolong kepada pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski itu sudah dicanang media negara terbabit bakal mengemudi Newcastle Jets selama dua tahun.

Milligan dilaporkan bakal mengemudi Newcastle Jets. Facebook/MalaysiaNT

Difahamkan, bekas perancang tengah pasukan kebangsaan Australia itu bakal menggantikan posisi Robert Stanton yang tidak lagi bersama pasukan bagi musim baharu.

Terdahulu, Newcastle Jets mengumumkan perpisahan dengan Rob Stanton hanya beberapa bulan selepas dia menandatangani perjanjian lanjutan dua tahun.

Walau bagaimanapun, Stanton akan terus mengendalikan pasukan sehingga akhir musim A-League.

Untuk rekod, jurulatih berusia 39 tahun itu diumumkan sebagai penolong jurulatih Harimau Malaya selepas dia meninggalkan Adelaide United.

Milligan adalah sebahagian daripada barisan kejurulatihan baharu menerusi projek revolusi Harimau Malaya bagi mengharungi kempen kelayakan Piala Asia 2027. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram