
PROJEK revolusi Harimau Malaya bermula dengan langkah kanan apabila merekodkan kemenangan 2-0 ke atas Nepal dalam aksi pusingan ketiga Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri, Johor pada Selasa (25 Mac 2025).
Kejayaan mengutip tiga mata berkenaan memberi kelegaan buat Peter Cklamovski bagi perlawanan pertamanya sejak beliau diberi kepercayaan untuk menjalankan amanat sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya pada Disember lalu.
Permulaan positif itu membuatkan ramai penyokong bola sepak Harimau Malaya jadi tidak sabar untuk melihat perkara baharu selepas ini, misalnya kehadiran bintang naturalisasi yang akan memberi nilai tambah buat skuad kebangsaan.
BACA LAGI: Aksi Kedah-JDT dijangka hangat dengan kepulangan 'maestro' Harimau Malaya
BACA LAGI: Vietnam harap sempat raih khidmat 2 pemain naturalisasi sebelum berdepan Harimau Malaya
Selain ketibaan tujuh pemain warisan bakal memperkuatkan Harimau Malaya, khabar angin beberapa bintang import Liga Malaysia (Liga M) akan dinaturalisasikan juga menjadi berita yang ditunggu-tunggu oleh pengikut bola sepak domestik.
Antara nama tonggak import yang dikatakan bakal terlibat dalam projek naturalisasi Harimau Malaya ialah pertahanan Kuala Lumpur (KL) City FC, Giancarlo Gallifuoco selepas lima tahun menentap di tanah air.
Pemain yang berasal dari Sydney, Australia itu tidak menafikan bahawa khabar angin berkenaan sangat menggembirakannya dengan Gallifuoco juga sudah menerima pelbagai mesej positif daripada penyokong skuad kebangsaan.
Gallifuoco tiba di tanah air pada 2021. — Facebook/KLCity
“Saya telah mendengar banyak khabar angin juga. Saya tidak tahu berapa banyak yang boleh dikatakan dan apa yang saya tidak boleh katakan. Tetapi, yang saya tahu adalah walaupun ia hanyalah khabar angin, saya amat gembira.
“Saya amat gembira kerana saya tidak pernah merasakan perkara sebegini dan tidak pernah menerima banyak mesej dari kawan-kawan yang ingin saya bermain untuk negara mereka. Apa yang mereka beri (mesej) sangat indah,” katanya kepada Majoriti.
Gallifuoco berkata, sekalipun namanya tidak berada dalam senarai projek naturalisasi namun pertahanan tengah berusia 31 tahun berkenaan masih gembira kerana dapat tinggal di Malaysia sejak tiba pada 2021.
Sejak lima tahun lepas, pemain Akademi Tottenham Hotspur berkenaan menjadi watak utama skuad Warga Kota dengan Gallifuoco sudah merekodkan 107 penampilan, empat gol dan satu bantuan gol.
Keampuhan bekas produk akademi Spurs ini mengemudi benteng pertahanan jelas menggembirakan penyokong KL City. — Agensi
“Ada beberapa pemain sebelum ini, mereka telah mengambil naturalisasi kerana keadaan. Misalnya, ada yang menganggap, anda naturalisasikan saya sebab memerlukan saya.
“Tetapi dalam keadaan saya, sama ada ia (naturalisasi) berlaku atau tidak berlaku, saya hanya ingin mengatakan kepada semua orang, saya memang gembira kerana ini (Malaysia) telah menjadi rumah saya selama lima tahun.
“Saya telah mencuba sebaik mungkin untuk menjadi pertahanan terbaik, rakan sepasukan yang terbaik yang saya boleh menjadi. Dan anak perempuan saya telah dilahirkan di sini. Isteri saya suka tinggal di sini.
“Ini akan menjadi rumah saya selama-lamanya. Jadi, jika khabar angin ini menjadi kenyataan, saya akan menjadi lebih baik daripada saya sekarang,” tambahnya.
Dalam pada itu, Gallifuoco juga optimis Harimau Malaya akan mengalami perubahan positif di bawah bimbingan Cklamovski lagi-lagi selepas melihat kemenangan tanpa bolos dalam aksi menentang Nepal baru-baru ini.
“Pendapat saya tentang permainan pertama adalah luar biasa. Untuk permainan pertama di bawah gaya baru, menang 2-0 dan cuba untuk menggabungkan pemain yang tak dikenali ada pula pemain warisan baru tiba datang, satu permainan yang baik.
“Permainan set piece adalah yang paling mengagumkan. Cara mereka merancang itu dalam latihan. Sejujurnya dengan bimbingan Peter Cklamovski dan mentaliti yang dia bawa ke pasukan nasional Malaysia, saya rasa akan ada lebih banyak peningkatan,” kongsinya.
Sekiranya dinaturalisasikan, kehadirannya akan membantu pertahanan Harimau Malaya dengan ketinggiannya yang mencecah 1.87 meter sudah cukup untuk memberikannya kelebihan dari segi fizikal bagi bersaing dengan penyerang-penyerang lawan.
Malah, pemain yang pernah bersama skuad kebangsaan Bawah 23 tahun Australia itu juga dikatakan memiliki kepantasan dalam mendapatkan semula bola daripada pihak lawan dengan ia merupakan satu kelebihan buatnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram