'Beraya di stadium', tiket percuma aksi Selangor-TFC khas buat penyokong berpakaian tradisional


  • Podium
  • Sabtu, 29 Mac 2025

Selangor FC menawarkan tiket percuma terhad sebagai sebahagian daripada sambutan Aidilfitri. — Facebook/Selangorfc

PENYOKONG Gergasi Merah dan Sang Penyu berpeluang mendapatkan tiket percuma untuk perlawanan Selangor FC menentang Terengganu FC pada 5 April dengan syarat yang unik.

Aksi Liga Super yang dijadualkan berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor itu jatuh pada hari raya keenam dan Selangor FC telah menawarkan tiket percuma terhad sebagai sebahagian daripada sambutan Aidilfitri.

Menerusi hantaran di laman rasmi Selangor FC, penyokong kedua-dua pasukan berpeluang masuk ke stadium secara percuma jika berpakaian tradisional Hari Raya Aidilfitri.

BACA LAGI: Kami jumpa JDT dalam mood terbaik sebelum Aidilfitri — Ariff Farhan

BACA LAGI: 'Hampir beraya di hospital', kiper Tok Gajah patah hidung terima 5 jahitan di kening

“Berita baik! Sempena meraikan perayaan yang penuh bermakna ini, semua penyokong yang hadir dengan berpakaian tradisional Hari Raya Aidilfitri

dibenarkan untuk masuk secara percuma melalui Pintu Masuk Open (Home & Away) bagi menyaksikan perlawanan antara Selangor dan Terengganu.

“Jom ramai-ramai kita beraya di stadium sambil menonton bola!,” katanya.

Bagaimanapun, ppenebusan tiket percuma itu adalah terhad sebanyak 1000 keping bagi kategori ‘open home’ dan 300 keping bagi kategori ‘open away’.

Penebusan tiket bermula pada pukul 5:30 petang sehingga 7:30 petang di kawasan open.

Pemakaian baju Raya Aidilfitri adalah wajib untuk proses penebusan tiket percuma yang akan diberikan secara fizikal semasa hari perlawanan.

Aksi menentang Terengganu ini penting buat Selangor dalam mengukuhkan lagi tempat kedua Liga Super bagi menjauhkan jarak dengan Kuching City yang berada di tangga ketiga liga. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram