
BEKAS penyerang kebangsaan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli mendedahkan bahawa perpindahannya ke Selangor pada 2007 bukan atas faktor tawaran lumayan, sebaliknya kerana tidak ditawarkan kontrak lanjutan bersama Kedah.
Keputusan terbabit mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan penyokong setia Hijau Kuning yang kurang memahami situasi sebenar ketika itu lagi-lagi Akmal Rizal antara pemain kesayangan pengikut Sang Kenari.
Menurut Akmal Rizal yang pernah menjadi pengendali Kedah sebelum ini, perpindahan tersebut menjadi kontroversi kerana Kedah dan Selangor mempunyai perseteruan tersendiri dalam arena bola sepak tempatan.
BACA LAGI: Akmal Rizal direhatkan atau digugurkan, 3 calon tepat termasuk ex coach jadi pengganti
Namun, pengendali berusia 43 tahun berkenaan menjelaskan bahawa keputusan itu dibuat selepas dimaklumkan untuk mencari pasukan lain. Beliau akhirnya memilih Selangor sebagai destinasi seterusnya dalam karier bola sepaknya.
“Itu menjadi kontroversi sedikit pada ketika itu kerana saya berhijrah ke Selangor pada tahun 2007.
“Ramai penyokong Kedah tidak tahu sebabnya. Ada yang mengatakan berkenaan tawaran lumayan tetapi sebenarnya di belakang tabir Kedah tahu.
“Saya diarahkan untuk mencari pasukan lain. Jadi ketika itu, saya ke Selangor dan kita tahu perseteruan antara penyokong Kedah dan Selangor itu bagaimana,” katanya dalam satu perkongsian kepada Bola Itu Life di Astro Arena.
Selain berkongsi tentang perpindahannya ke Selangor, Akmal turut mengimbas kembali perjalanan kariernya sepanjang kariernya terutamanya beberapa siri kecederaan yang terpaksa diatasi.
Bagaimanapun, kecederaan serius yang dialami pemain kelahiran Jitra, Kedah berkenaan pada tahun 2005 hingga 2006 memberi cabaran besar dalam kariernya sebagai pemain bola sepak.
“Saya pernah menjuarai Liga Perdana 2002, selepas itu 2004 kami tewas final Piala Malaysia di tangan Perlis.
“Saya juga mengharungi detik kecederaan sekitar tahun 2005 hingga 2006 melibatkan lutut anterior krusiat ligamen (ACL) dan juga peha,” tambah pemain yang pernah mewakili Malaysia pada Piala Asia 2007.
Akmal Rizal merupakan antara penyerang terbaik yang pernah dilahirkan dalam bola sepak Malaysia. Dia juga pernah beraksi di luar negara bersama kelab di Perancis sebelum kembali ke tanah air untuk menyumbang kepada perkembangan bola sepak tempatan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram