
BEKAS juara Muay Thai One Championship, Rodtang Jimuangnon tidak memerlukan masa lama untuk menewaskan Takeru Segawa menerusi tumbukan knock out (KO) seawal pusingan pertama pada pertarungan epik dalam acara utama Kejohanan ONE 172 di Saitama Super Arena, Saitama, Jepun.
Pertarungan utama yang berlangsung pada Ahad itu berlangsung pantas apabila Rodtang hanya memerlukan 80 saat untuk menumbangkan jaguh Jepun itu dalam pusingan pertama.
Aksi dimulakan dengan kedua-dua petarung menggunakan serangan kaki bagi menguji lawan masing-masing. Namun, keseimbangan pertarungan berubah apabila Rodtang melancarkan tumbukan yang tepat mengenai Takeru, menyebabkan lawannya kelihatan terkesan dengan pukulan itu.
BACA LAGI: [VIDEO] Segak berbaju Melayu, Rodtang bawa aura berbeza berdepan petarung Jepun
BACA LAGI: 'New era of Muay Thai', selain Jojo, Rifdean antara 3 mula tempa nama sukan tinju
Menyedari dirinya berkelebihan, Rodtang tidak melepaskan peluang dengan meneruskan serangan agresif apabila dia melepaskan gabungan tumbukan satu-dua di sudut gelanggang sebelum memberikan 'coup de grace' yang memaksa Takeru hilang kawalan.
Serangan yang dilakukan Rodtang menyebabkan pengadil terpaksa menghentikan pertarungan pada minit 1:20 selepas Takeru gagal mengekalkan posisinya, sekali gus memberikan kemenangan kepada jaguh Thailand itu.
Sebagai ganjaran atas kemenangannya yang luar biasa dalam dalam kategori Flyweight Kickboxing Super-Fight itu, Rodtang membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak AS$50,000 (RM221,149).
Kemenangan itu menandakan permulaan babak baharu dalam kariernya, Rodtang tampak bersedia untuk merampas semula Gelaran Dunia ONE Flyweight Muay Thai yang masih kosong atau mencabar 'The Kicking Machine' Superlek Kiatmoo9 bagi Gelaran Dunia ONE Flyweight Kickboxing.
Apa yang menarik dan mencuri perhatian dalam perlawanan itu apabila petarung dengan gelaran 'The Iron Man' tersebut memakai seluar berwarna merah jambu, hasil kerjasamanya dengan sebuah jenama fesyen terkenal tempatan.
Sebelum ini, Rodtang sudah mencuri perhatian dunia apabila petarung itu berbusana baju Melayu tradisional hasil rekaan jenama sama ketika sesi 'face off' untuk perlawanannya menentang Takeru.
Rodtang (kiri) lengkap berbusana baju melayu tradisional berwarna hitam dipadan dengan samping pada sesi 'face off'. — Facebook/OneChampionship
Mengenakan baju Melayu berwarna hitam dan dipadan dengan samping yang memiliki rekaan unik sebagai pelengkap pakaian, membuatkan Rodtang membawa aura berbeza daripada penampilan biasa petarung berkenaan.
Kemunculan Rodtang dalam pakaian tradisional itu terhasil daripada kolaborasi dengan jenama fesyen tempatan berkenaan yang melantik atlet terbabit sebagai duta rasmi mereka pada Februari lepas. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram