Amy Search yakin JDT menang, 'racun' peminat pergi konsert solo pertama


  • Podium
  • Ahad, 23 Mac 2025

MFL sebelum ini telah mengumumkan perubahan tarikh perlawanan akhir Piala Malaysia kepada 26 April di SNBJ.

PENYANYI legenda, Datuk Amy Search, tetap dengan keputusannya untuk mengekalkan tarikh asal konsert solonya walaupun ia bertembung dengan perlawanan akhir Piala Malaysia antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Sri Pahang FC pada 26 April nanti.

Konsert yang diberi nama Amy Search Magic First Solo Concert itu dijadualkan berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, bersebelahan dengan Stadium Nasional yang menjadi lokasi perlawanan akhir bola sepak berprestij tersebut.

Berikutan situasi ini, seorang peminat mengusulkan agar tarikh konsert ditukar bagi mengelakkan pertembungan dengan perlawanan penting berkenaan.

BACA LAGI: MFL tetap 26 April final Piala Malaysia, ambil kira perjalanan penyokong ke SNBJ

BACA LAGI: Kerajaan negeri patut tanggung skuad Piala MFL demi bantu ringan beban kelab

Namun, Amy yang merupakan anak kelahiran Johor Bahru, Johor itu memberikan reaksi bersahaja sambil bergurau mengenai perkara tersebut.

"Tak perlu tengok sebab dah tentu JDT menang. Mana pernah JDT kalah," balas Amy kepada pengikutnya di media sosial.

Jawapan santai Amy itu bukan sahaja menghiburkan, malah berjaya meyakinkan peminat tersebut untuk tetap memilih hadir ke konsertnya.

"Terbaik Datuk. Betul juga. Baiklah saya 'on' konsert Amy," tulis peminat itu dalam responsnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) sebelum ini telah mengumumkan perubahan tarikh perlawanan akhir Piala Malaysia kepada 26 April di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Tangkap layar perbualan antara Amy Search dan peminatnya.

Hal ini berikutan tarikh asal pada 12 April dilihat masih di awal tempoh perayaan dan enggan melihat penyokong-penyokong Tok Gajah dan Harimau Selatan menghadapi kekangan untuk hadir ke stadium nanti. 

Konsert terbabit menjadi satu peristiwa bersejarah bagi Amy Search, atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman, 67, kerana ia merupakan konsert solo pertamanya selepas 44 tahun berkecimpung dalam industri muzik.

Tiket bagi Amy Search Magic First Solo Concert telah mula dijual sejak 5 Februari lalu menerusi laman sesawang rasmi www.wowtix.com.my.

Dengan keyakinannya terhadap kemenangan JDT dan keunikan konsert solo pertamanya ini, Amy percaya kehadiran peminat akan tetap memberangsangkan walaupun konsert tersebut berlangsung pada hari yang sama dengan perlawanan akhir Piala Malaysia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram