"Kalah sekali saja, 10 kali ganda akan perbaiki', Luis Garcia dianggap pemadam memori duka JDT di ACLE


  • Podium
  • Jumaat, 21 Mac 2025

Garcia bersama Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail semasa menerima watikah pelantikan pada Jumaat. —Facebook/JST

JUARA bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) mengumumkan kehadiran bekas pemain skuad kebangsaan Sepanyol, Luis Garcia sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu kelab tersebut.

Pelantikan itu diumumkan menerusi satu hantaran di laman JOHOR Southern Tigers yang menyaksikan Garcia akan bergelar CEO kelab juara Liga Super 11 kali bermula pada 1 April 2025.

Menurut kenyataan kelab, pelantikan Garcia adalah sebahagian daripada penstrukturan semula JDT untuk memperkukuh kepakaran dalam bidang pengurusan, yang diharapkan dapat membawa kelab ke tahap yang lebih tinggi.

BACA LAGI: Sanggupnya menteri, persatuan bantu pemain KDA menjelang sambutan Aidilfitri undang sebak

BACA LAGI: 'Nak beli baju raya anak bini', penyerang kelab Lembah Klang kesal gaji sangkut 9 bulan

Kehadiran bekas pemain Barcelona, Liverpool dan Atletico Madrid itu dilihat sebagai langkah positif dalam membantu JDT menghadapi cabaran saingan Liga Juara-Juara AFC Elite (ACLE) pada masa akan datang.

JDT sebelum ini terpaksa melupakan impian untuk mara ke peringkat suku akhir ACLE selepas tewas 0-1 di tangan jaguh Thailand, Buriram United FC dalam aksi timbal balik pusingan kalah mati di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada 11 Mac lalu.

Kekalahan tersebut meninggalkan kekecewaan buat pasukan dan penyokong JDT yang berharap dapat melangkah lebih jauh dalam kejohanan berprestij itu.

Namun, dengan pengalaman luas di peringkat antarabangsa, Garcia dijangka mampu membawa perubahan besar dalam strategi dan pengurusan kelab, sekali gus mengembalikan semangat juang pasukan untuk bangkit di pentas Asia.

Ketua Pegawai Eksekutif, Luis Garcia (kanan).

Garcia dianggap sebagai figura yang tepat untuk memberi kesegaran dan motivasi baharu kepada pasukan Harimau Selatan terutama dalam mengharungi kejohanan Asia pada masa depan.

Semangat dan komitmen Garcia dalam mengukuhkan pasukan JDT memberi harapan baru kepada penyokong, yang masih percaya bahawa kelab berkenaan mampu meraih kejayaan lebih besar di pentas Asia.

Meskipun memori duka tewas kepada Buriram United masih segar, Garcia dianggap sebagai pemadam yang membawa sinar baru untuk JDT mencipta kejayaan lebih gemilang masa hadapan.

"JDT ini satu saja 'penyakit' dia, kalau tak mahu dia belanja lebih jangan bagi dia kalah, dia dapat kalah sekali saja, 10 kali ganda dia perbaiki," kata Uzai Izai.

"Kalah dekat liga tidak apa, kalah dekat ACLE saja yang tak boleh, sebab level ACLE, JDT nak main dan jadi juara ACLE, main Liga M sekadar pelengkap jadual," kata Izuddin Yazid.

"JDT ini kalau kalah, kau tunggu sajalah apa dia buat, yang tak disangka akan jadi, memang akan banyak kejutan kita tengok," kata Fikril Amri Ams. — Majoriti 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram