Sanggupnya menteri, persatuan bantu pemain KDA menjelang sambutan Aidilfitri undang sebak


  • Podium
  • Khamis, 20 Mac 2025

Pemain Sang Kenari boleh menarik nafas lega selepas tiga badan NGO melancarkan Tabung Aidilfitri Pemain Bola Sepak Kedah bagi meringankan beban pasukan itu. — Facebook/KDAFC

KEDAH Darul Aman FC (KDA FC) boleh menarik nafas lega selepas tiga badan bukan kerajaan (NGO) tampil membantu meringankan beban mereka menjelang Aidilfitri.

Rangkaian Anak Darulaman Se-Malaysia (RADA), Pertubuhan Sukarelawan Rakyat Aman (SUARA) dan Persatuan Anak Darulaman Malaysia (ADAM) telah melancarkan Tabung Aidilfitri Pemain Bola Sepak Kedah bagi meringankan beban pasukan itu.

Menurut Pengerusi RADA, Datuk Romli Ishak, NGO anak-anak Kedah menyedari keseriusan isu ini kerana ia melibatkan kebajikan pemain.

BACA LAGI: Mana satu betul? Tarikh final Piala Malaysia jadi persoalan

BACA LAGI: 'Nak beli baju raya anak bini', penyerang kelab Lembah Klang kesal gaji sangkut 9 bulan

"Tabung ini bertujuan memastikan kebajikan pemain terjaga, terutamanya menjelang Aidilfitri dan sumbangan akan disalurkan terus kepada mereka," katanya pada sidang media pada Khamis.

Setakat ini, kutipan tabung telah mencecah lebih RM40,000 termasuk sumbangan peribadi daripada Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebanyak RM20,000 dan Datuk Fahmi Fadzil sebanyak RM10,000.

Berita baik itu disambut gembira oleh penyokong Sang Kenari yang meluahkan kesyukuran kerana pemain KDA FC kini dapat menyambut Syawal dengan lebih meriah.

"Alhamdulillah, ada juga usaha untuk bantu pemain KDA FC," kata Herry Abdul Ghani.

"Alhamdulillah, terima kasih kerajaan Madani yang membantu nasib pemain bola sepak Kedah," kata Laksamana Mateen Mateen.

"Terbaik, ada usaha untuk bantu pemain KDA FC," kata Abdullahzailani Zailanijaafar.

KDA FC sebelum ini terpalit dengan isu tunggakan gaji yang berlarutan hingga 10 bulan. — Majoriti 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram