Tiada aksi 'friendly' bukan isu besar — Stuart Wilkin


  • Podium
  • Khamis, 20 Mac 2025

Sebahagian sesi latihan skuad Harimau Malaya menjelang perlawanan penting bertemu Nepal pada 25 Mac nanti. — Facebook/MalaysiaNT

KETUA jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski mengambil pendekatan berani apabila tidak mengatur sebarang perlawanan persahabatan antarabangsa sepanjang tempoh kem latihan pusat.

Sebaliknya, barisan pemain Harimau Malaya hanya berlatih sesama sendiri sebelum menghadapi Nepal pada aksi pertama Kelayakan Piala Dunia 2026 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada 25 Mac nanti.

Berita itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penyokong yang risau Harimau Malaya mungkin kekurangan taring ketika bertemu Nepal.

BACA LAGI: Mana satu betul? Tarikh final Piala Malaysia jadi persoalan

BACA LAGI: Jadi wira kelab Thailand, striker muda HM lebih wajar dipanggil berbanding Sumareh

Stuar Wilkin (tengah) yakin bahawa intensiti latihan yang dijalani pasukan sudah cukup untuk mempersiapkan mereka menghadapi Nepal. Facebook/MalaysiaNT

Mereka percaya ketiadaan perlawanan persahabatan boleh memberi kesan kepada persiapan pasukan kendalian Cklamovski, berbanding pasukan Nepal yang akan berdepan Singapura pada 21 Mac sebagai persediaan.

Namun, pemain tengah Harimau Malaya, Stuart Wilkin tidak terpengaruh dengan kebimbangan tersebut.

Stuart yang juga tonggak Sabah FC itu yakin bahawa intensiti latihan yang dijalani pasukan sudah cukup untuk mempersiapkan mereka menghadapi Nepal.

“Latihan yang kami jalani mempunyai intensiti yang sangat tinggi dan kami percaya ia akan mempersiapkan kami dengan baik untuk perlawanan tersebut.

"Kami juga akan menonton perlawanan Nepal menentang Singapura untuk membantu persiapan taktikal kami,” katanya.

Stuart tidak asing dengan pasukan Nepal setelah beraksi dalam kemenangan 5-1 Malaysia ke atas mereka dalam perlawanan persahabatan Mac tahun lalu.

Namun, dia tidak menganggap keputusan itu sebagai petunjuk kekuatan pasukan Nepal yang terkini.

“Adalah satu kesilapan besar bagi kami untuk memandang rendah mereka dalam perlawanan kompetitif. Kami akan yakin, tetapi tidak terlalu yakin,” kongsinya.

Selain Nepal, skuad Harimau Malaya turut diundi bersama dua lagi seteru Asean Vietnam dan Laos dengan Vietnam disifatkan menjadi pencabar terbesar skuad negara dalam misi ke Arab Saudi.

Pusingan kelayakan itu jelas memberikan cabaran yang sukar memandangkan hanya juara kumpulan akan melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Asia 2027. — The Star/T.AVINESHWARAN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram