[VIDEO] Bukan sekadar 2 bintang warisan baharu, kem Harimau Malaya diceriakan kepulangan Arif Aiman


  • Podium
  • Khamis, 20 Mac 2025

Arif Aiman (kiri) bersama salah seorang jurulatih skuad kebangsaan di sesi latihan dengan tiada sebarang isu kecederaan dilihat. — Facebook/Malaysia NT

PERSIAPAN rapi diteruskan skuad kebangsaan menjelang aksi menentang Nepal dalam Kelayakan Piala Asia 2027 yang dijadualkan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada Selasa depan.

Perlawanan itu sememangnya amat penting buat Harimau Malaya untuk memulakan kempen dengan langkah kanan sebelum berdepan dua lagi pasukan Asia Tenggara, Laos dan Vietnam.

Jadi, penyokong serta barisan kejurulatihan pasukan negara sendiri mahu meraih tiga mata penuh ketika berdepan Nepal untuk menghidupkan peluang layak ke kejohanan itu buat edisi kedua berturut-turut.

BACA LAGI: 'Mereka rakyat Malaysia', Cklamovski sahkan bek kiri Las Palmas dan Hevel bakal sertai HM

BACA LAGI: [VIDEO] Dua pemain warisan sudah turun latihan, fans puji cara kerja pengurusan revolusi Harimau Malaya

Sesi latihan di Padang Seri Gelam, Johor juga kelihatan meriah dengan kehadiran dua pemain warisan baharu iaitu Gabriel Palmero serta Hector Hevel yang difahamkan melapor diri pada Rabu.

Meskipun mereka tidak berada dalam senarai 27 pemain dipanggil Peter Cklamovski, kesanggupan menyertai kem latihan menceritakan keterujaan masing-masing untuk beraksi buat Harimau Malaya pada masa akan datang.

Bagaimanapun, tumpuan penyokong lebih ditujukan terhadap kepulangan pemain bintang negara, Arif Aiman Hanapi yang sudah kembali selepas dilaporkan mengalami kecederaan susulan aksi Liga Super menentang Penang FC pada Ahad.

Dalam hantaran terbaru Malaysia NT, pemain berusia 22 tahun itu kelihatan cergas tanpa sebarang balutan di kaki dengan ia menjadi petanda baik buat penyokong untuk menyaksikannya ketika berdepan Nepal.

Arif Aiman sudah melapor diri ke kem latihan Harimau Malaya menjelang aksi getir berdepan Nepal. Facebook/Malaysia NT

"Sebelum ini ada dengar dia cedera. Tapi, nampak sudah kembali cergas. Insya-ALLAH kemenangan akan berpihak kepada skuad kebangsaan," kata Zambry Leman.

"Gembira apabila nampak Arif Aiman dan Faisal Halim ada bersama. Semoga ada sinar baharu buat pasukan Harimau Malaya nanti," kata Shahrul Nizam.

"Terbaik Arif Aiman, kalau tak nampak dia rasa satu kehilangan yang besar buat Harimau Malaya," kata Musa Bwahi.

Di peringkat kelab musim ini, Arif Aiman berjaya menjadi watak utama buat Johor Darul Ta'zim (JDT) 18 jaringan serta 14 bantuan gol dicatatkan daripada 38 penampilan di peringkat domestik dan Asia.

Arif Aiman merupakan salah seorang watak terbaik dalam skuad kebangsaan beberapa tahun kebelakangan ini. Facebook/FAM

Prestasi memberangsangkan itu pasti diharapkan dapat diteruskan bersama Harimau Malaya dalam misi pasukan negara menarik semula sorakan penyokong selepas beberapa siri kekecewaan kebelakangan ini.

Setakat ini, pemain kelahiran Pahang itu sudah merekodkan 32 penampilan rasmi bersama skuad kebangsaan dengan tujuh gol sudah direkodkan sepanjang tempoh berkenaan.

Catatan sedemikian sudah tentu diharapkan dapat ditambah baik dalam kesemua perlawanan Kumpulan F memandangkan Harimau Malaya perlu berada di tangga teratas untuk mara ke pusingan seterusnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram