'Sang Penyu perlu perubahan, ikut prinsip Nafuzi Zain berani pertaruh ubi muda'


  • Podium
  • Ahad, 16 Mac 2025

Terengganu perlu bangkit untuk mengukuhkan kedudukan dan mengelak daripada terus dipintas oleh pasukan lain. —Facebook/TFC

TERENGGANU FC kini berdepan saingan sengit dalam carta Liga Super 2024 apabila kedudukannya semakin dikejar oleh Kuala Lumpur City FC.

Sebelum ini, Terengganu menghuni tangga keempat liga, namun terpaksa akur apabila dipintas oleh Kuching City FC.

Perubahan kedudukan itu berlaku selepas Sang Penyu hanya meraih satu mata dalam perlawanan menentang Sabah FC pada 7 Mac lalu, yang berakhir dengan keputusan 2-2, sekali gus meletakkan TFC di tangga kelima carta.

BACA LAGI: Malas bising-bising', TMJ sahkan Hector Hevel bintang warisan HM

BACA LAGI:  Andai sah dibubar, 3 bintang Tok Gajah wajib disambar musim depan

Sang Penyu kini menghuni tangga kelima carta liga selepas dipintas oleh Kuching City FC. Facebook/TFC

Dengan saingan liga semakin sengit, Terengganu perlu bangkit untuk mengukuhkan kedudukan dan mengelak daripada terus dipintas oleh pasukan lain.

Dengan baki tiga lagi perlawanan liga, Sang Penyu perlu melakukan perubahan drastik bagi memastikan kedudukan di tangga kelima tidak dipintas, terutama oleh KL City yang semakin menghampiri.

Mengulas prestasi tidak menentu Sang Penyu, legenda Terengganu, Che Ku Marzuki menaruh harapan tinggi agar skuad kendalian Badrul Afzan Razali kembali fokus di atas padang untuk meraih kemenangan.

Menurutnya, para pemain seharusnya menunjukkan usaha lebih keras bagi memastikan kemenangan menjadi milik TFC.

“Terengganu perlu menunjukkan kesungguhan dalam setiap perlawanan yang akan datang, dengan baki tiga perlawanan lagi. Kita harus menutup buku tentang persembahan lepas, yang jelas menunjukkan kurangnya semangat dan tekad untuk menang.

“Tiada tanda pemain-pemain berusaha keras untuk mencapai cita-cita kemenangan. Walaupun terdapat isu dalaman seperti gaji yang belum dibayar, ia tidak seharusnya mengganggu semangat pasukan,” katanya kepada Majoriti.

Bekas pengendali Sang Penyu, Nafuzi Zain sebelum ini kerap memberi peluang kepada pemain muda. Facebook/TFC

Bagi Che Ku, sebagai sebuah negeri yang terkenal dalam arena sukan khususnya bola sepak, Terengganu sepatutnya mempunyai cara terbaik bagi memastikan setiap perlawanan membuahkan tiga mata penting.

Selain itu, Che Ku juga berpendapat bahawa Terengganu perlu berani memberi peluang kepada barisan 'ubi muda' untuk membuktikan kemampuan mereka, seperti yang pernah dilakukan oleh bekas Ketua Jurulatih TFC, Nafuzi Zain.

“Terengganu merupakan negeri sukan, khususnya bola sepak. Pegawai pasukan perlu mencari jalan penyelesaian untuk memastikan kemenangan dalam baki perlawanan.

“Jangan terus terfokus pada kegagalan lepas, tetapi beranilah mencuba pemain-pemain yang kurang diturunkan.

“Mereka juga mempunyai cita-cita dan semangat tinggi. Terengganu perlu berani membuat perubahan, kerana itulah prinsip yang diterapkan oleh Nafuzi Zain yang berjaya membawa pemain muda tampil cemerlang,” jelasnya.

Ketua Jurulatih TFC, Badrul Afzan Razali. Facebook/TFC

Di samping itu, Che Ku mempersoalkan mengapa Terengganu tidak mempunyai sasaran yang jelas untuk meraih mata, sambil menekankan bahawa penggunaan pemain yang sama tanpa perancangan strategik menghalang prestasi pasukan.

Menurutnya, pasukan perlu merangka strategi yang lebih baik dalam mencipta peluang gol, termasuk melalui sepakan percuma, sepakan sudut, dan penalti kerana dalam bola sepak moden, setiap posisi pemain berpeluang untuk menjaringkan gol.

Pada masa sama, Che Ku juga mengingatkan pasukan agar tidak mengecewakan peminat dan menghargai sokongan mereka dengan persembahan terbaik serta kemenangan.

“Kenapa Terengganu tidak mempunyai sasaran untuk meraih mata? Ini kerana pemain yang sama terus diturunkan tanpa perancangan yang jelas.

“Perlu ada strategi dalam mencipta peluang gol, seperti sepakan percuma, sepakan sudut, atau penalti. Setiap posisi pemain dalam bola sepak sekarang berpeluang untuk menjaringkan gol.

“Jangan biarkan peminat kecewa. Hormatilah mereka dengan persembahan terbaik dan berikan mereka kemenangan. Itu sahaja harapan peminat Terengganu,” ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram