BERBAKI lagi tiga perlawanan dalam saingan Liga Super menjadi taruhan Terengganu FC untuk menaikkan kedudukan mereka dan sekali gus sebagai peluang terakhir untuk menempah slot ke Piala AFC.
Perkara itu dikatakan sendiri oleh penolong jurulatih skuad Penyu, Hairuddin Omar yang mengganggap perlawanan-perlawanan terakhir termasuk aksi menentang Melaka pada Jumaat ini adalah penting untuk mengetahui hala tuju TFC.
Baginya, pertembungan Melaka United di Stadium Hang Jebat tidak boleh dianggap mudah meskipun diketahui pasukan itu dilanda masalah tunggakan gaji.
Antara pemain TFC sewaktu sesi latihan bagi perlawanan menentang skuad Hang Tuah. — Facebook/TFC
“Persiapan macam biasa. Fokus TFC sekarang adalah cuba dapatkan slot ke AFC. Baki lagi tiga perlawanan Liga Super adalah sangat penting kerana menentukan hala tuju pasukan TFC.
“Walaupun Melaka dilanda masalah tapi pemain-pemain diingatkan tidak memandang mudah dan tidak leka perlawanan malam ini,” katanya kepada Majoriti.
Malah, bekas pemain kebangsaan itu juga tidak dapat menafikan kekuatan barisan pemain skuad Hang Tuah akan menjadi acaman buat skuad Penyu.
Jelasnya, antara pemain Melaka yang berlu diawasi oleh anak-anak buah Nafuzi Zain ialah Norshahrul Idlan Talahan dan penyerang import, Ifedayo Olusegun.
Ifedayo dilihat antara pemain Melaka yang boleh menembusi gawang TFC. — Facebook/TFC
Sementara itu, Hairuddin juga sempat mengulas mengenai undian Piala Malaysia yang diumumkan oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) pada Khamis.
Menurutnya, Piala Malaysia perlu dilupakan dahulu bagi memberi fokus pada perlawanan Liga Super.
“Tak nak memikirkan mengenai undian Piala Malaysia terlebih dahulu tapi mahu beri fokus utama pada baki saingan Liga Super.
“Saya juga tak nak Piala Malaysia ganggu fokus pemain dan ganggu apa TFC nak buat musim depan,” jelasnya.
Selain bertemu Melaka pada Jumaat, skuad Penyu akan menentang Kuala Lumpur City (KL City) dan Kedah Darul Aman (KDA) dengan kesemuanya berlangsung di tempat lawan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram