Hairuddin mampu damaikan dua kem dalam TFC


  • Podium
  • Khamis, 23 Dis 2021

HAIRUDDIN (tengah) menandatangani kontrak kejurulatihan dengan TFC bagi menyahut cabaran Liga Super Malaysia 2022. — Facebook TFC

BEKAS penyerang kebangsaan Hairuddin Omar kembali menyertai barisan kejurulatihan apabila diumumkan sebagai penolong jurulatih Terengganu FC (TFC) bagi menyahut cabaran Liga Super Malaysia 2022.

Perkara itu diumumkan oleh TFC sendiri menerusi hantaran status barisan kejurulatihan TFC baharu di laman Facebook @footballclubterengganu pada tengah malam Rabu.

Katanya, Hairuddin yang juga bekas kapten skuad kebangsaan sebelum ini pernah menjadi penolong jurulatih kepada ketua jurulatih skuad Malaysia U19, Bojan Hodak.

Beliau bersama Bojan dari 2017 hingga 2019 dan pernah bersama-sama membawa skuad B-19 negara melakar sejarah gemilang muncul juara Kejohanan B-19 AFF pada 2018 yang juga pencapaian terbaik dalam sejarah skuad muda negara.

Sebagai pemain, Hairuddin yang lebih dikenali sebagai Hai-O pernah beraksi bersama Terengganu, Pahang, T-Team, Negeri Sembilan dan ATM.

Penyertaan Hairuddin dalam barisan kejurulatihan itu disifatkan akan membawa pelbagai perspektif berbeza serta nilai tambah kepada Ketua Jurulatih TFC, Nafuzi Zain, seperti yang disuarakan seorang pemerhati sukan, Piang Shakly menerusi laman Facebooknya.

Katanya, apa yang lebih penting jurulatih berusia 42 tahun itu dapat mendamaikan dua kem dalam TFC yang gagal dikendalikan dengan baik oleh pengurusan terdahulu.

Turut membarisi kejurulatihan TFC ialah Tengku Hazman Tengku Hassan juga sebagai penolong jurulatih selain jurulatih kecergasaan (Mohamad Efindy Mohmad Salleh) dan jurulatih penjaga jol (Mohd Yazid Mohd Yassin). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram