
LIVERPOOL akan kehilangan empat pemain ketika Arne Slot berusaha untuk meraih trofi pertamanya sejak mengambil alih pasukan daripada Jurgen Klopp musim panas lalu.
The Reds bakal menghadapi cabaran sukar menentang Newcastle United di Wembley pada awal pagi Isnin (17 Mac) dalam perlawanan akhir Piala EFL, namun pasukan kendalian Eddie Howe juga berdepan beberapa kehilangan pemain utama.
Trent Alexander-Arnold disahkan tidak akan beraksi dalam perlawanan akhir itu selepas mengalami kecederaan buku lali ketika menentang Paris Saint-Germain (PSG) baru-baru ini.
BACA LAGI: Pemain Sabah FK bakal perkuat Harimau Malaya minggu depan?
BACA LAGI: Bekas peledak Port FC antara 3 pemain Brazil boleh ganti Ronnie Fernandez musim depan?
Arnold menyedari perkara itu dengan segera, menutup mukanya dengan baju ketika menahan kesakitan di atas padang.
Pemain bernombor 66 itu terpaksa dikeluarkan dalam perlawanan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) tersebut dan kini dijangka berehat selama beberapa minggu.
Situasi ini bukanlah berita baik buat Liverpool, lebih-lebih lagi dengan ketiadaan Conor Bradley dan Joe Gomez ketika ini.
Slot kini kekurangan pilihan di bahagian pertahanan, menyebabkan Jarell Quansah berkemungkinan besar terpaksa bermain di posisi bek kanan walaupun itu bukan posisi utamanya.
Selain itu, pemain tengah, Tyler Morton turut tidak terlibat dalam perlawanan itu juga kerana masih dalam proses pemulihan selepas menjalani pembedahan bahu.
Bagi Newcastle pula, mereka kehilangan dua tonggak pertahanan utama, Lewis Hall dan Sven Botman, yang sepatutnya menjadi pilihan utama dalam kesebelasan utama.
Jamaal Lascelles turut tidak dapat beraksi akibat kecederaan lutut, sementara Anthony Gordon digantung perlawanan selepas dilayangkan kad merah ketika menentang Brighton dalam saingan Piala FA.
Untuk rekod, Liverpool berpeluang meraih gelaran berganda jika menang Piala EFL dan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas terlepas misi treble susulan tersingkir UCL baru-baru ini. — Agensi
Follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram