
PENYOKONG Malaysia pastinya cemburu melihat kejayaan negara jiran, Indonesia yang berjaya membawa masuk pemain-pemain warisan Gred A untuk terus memperkuatkan Sang Garuda bagi Kelayakan Piala Dunia 2026.
Selepas berjaya membawa Jordi Amat, Kevin Diks, Tom Haye dan beberapa pemain kelahiran Eropah lain, kini Persatuan Sepak Bola Indonesia (PSSI) berjaya memujuk bekas penjaga gol Inter Milan, Emil Audero untuk menyertai revolusi Sang Garuda.
Manakala, penyokong Malaysia terus dinafikan satu persatu oleh pemain-pemain warisan yang didakwa mempunyai pertalian darah dengan negara ini.
BACA LAGI: 'Iraq bukan, Malaysia pun bukan', Jaami Qureshi ikut jejak Liridon Krasniqi sertai Baller League
BACA LAGI: [VIDEO] Tolak tepi rasa gembira, aksi Dion Cools pujuk Arif Aiman sentuh hati fans Malaysia
Selepas Josh Brownhill yang menafikan mempunyai pertalian darah dengan Malaysia, kini Ferdy Druijf pula membuat pengakuan tidak tahu akan hubungannya bersama negara ini.
Situasi itu jelas mengaibkan skuad kebangsaan yang dilihat seolah-olah terlalu terdesak mahu melihat pemain baharu menyertai revolusi Harimau Malaya menjelang aksi Kelayakan Piala Asia 2027 pada Mac ini.
Sikap terburu-buru penyokong dan beberapa pihak hingga tidak membuat usul periksa juga boleh jadi disebabkan faktor terlalu memuja pemain berdarah Eropah, sedangkan ramai bakat tempatan wajar diketengahkan.
Mengulas lebih lanjut mengenai isu itu, pemerhati sukan tempatan, Hanif Miswan berkata, beliau setuju dengan kaedah pemburuan pemain warisan dan meniru cara Indonesia kerana mereka telah terbukti berjaya.
Namun perlu ada sistem tepat untuk mencari pemain-pemain warisan yang benar-benar mempunyai darah dengan negara ini.
"Berkenaan pemain warisan ini dan pemburuan pemain warisan, semestinya jika benda yang baik kita ikut sahaja Indonesia.
"Mereka dah terbukti ada keputusan, mereka dah tahu cara untuk memburu pemain-pemain warisan. Apa sistem dia? Apa syarat dia, tapi kita kena ingat ada dua benda yang kita kena tahu dari dua sudut.
"Pertama scouting Indonesia ini ada hubungan rapat dengan pemain-pemain dekat luar sana. Mungkin kerana adanya satu demografi yang sangat luas dari sudut pendudukan mereka.
"Mereka antara negara mempunyai rakyat terbesar jadi mungkin sedikit mudah untuk mencari pemain-pemain warisan yang ada pertalian darah tersebut.
"Cara mereka menjadikan pemain-pemain luar negara ini sebagai rakyat juga mungkin satu benda yang berbezalah dengan sistem kewarganegaraan kita," katanya kepada Majoriti.
Hanif juga bersetuju Malaysia tidak terlalu gopoh-gapah untuk mencari pemain-pemain warisan yang tidak tahu pun mempunyai hubungan dengan negara ini.
"Saya sangat sokong Malaysia agar tidak terlalu tergopoh-gapah dalam nak memburu pemain-pemain warisan ini.
"Janganlah semua pemain yang kita nak dikaitkan dengan Malaysia ini kita nak sebat, kita mesti teliti betul-betul yang berkualiti sahaja.
"Kalau level setakat pemain-pemain tempatan, baik tak perlu dan lupakan sahaja.
"Dan kalaulah pemain-pemain tersebut sendiri yang dikatakan ada kualiti tapi tak tahu ada pertalian darah dengan Malaysia, selain mungkin pertama kali dengar nama Malaysia, bagi saya elok elakkanlah.
"Cari yang betul-betul ada yang kita dah kenal pasti yang bukan hanya sekadar untuk memenuhi syarat mencari pemain-pemain berdarah warisan.
"Ini sebab kita bukan baru mula (cari pemain warisan), kena tahu juga kita dah banyak serta dah ada terbukti mungkin sekarang kita lebih bising, ia bagus untuk pelan jangka pendek punya misi, tapi biar betul-betul," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram