Gagal raih 3 mata di Manjung, hasrat Yusri Che Lah baiki kedudukan liga TBG terbantut


  • Podium
  • Isnin, 10 Mac 2025

 Keputusan seri itu juga mengganggu perancangan Yusri yang sebelum ini mengharapkan tiga mata penuh di tempat sendiri.— Facebook/PerakFC

PENGENDALI Perak FC, Yusri Che Lah mengakui keputusan seri tanpa jaringan menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) di Stadium Manjung, Manjung, Perak pada Sabtu menghalang usahanya untuk memperbaiki kedudukan pasukan dalam carta Liga Super.

Skuad The Bos Gaurus (TBG) gagal memanfaatkan kelebihan beraksi dengan 11 pemain selepas pertahanan tengah skuad Jang, Harith Samsuri dilayangkan kad merah seawal minit ke-30 permainan. 

Yusri menyatakan bahawa pemainnya mensia-siakan banyak peluang untuk menjaringkan gol, walaupun mempunyai enam peluang. Menurutnya, keputusan tersebut tidak menggembirakan semua pihak, memandangkan pasukannya memiliki kelebihan pemain hampir 60 minit permainan.  

BACA LAGI: Kiper NSFC ibarat '2 pemain', Perak FC sia-sia peluang buru kedudukan Top 6

BACA LAGI: Kelompok pertengahan liga tetap jadi sasaran Perak FC berbaki 4 aksi lagi

“Kesilapan paling besar dalam bola sepak adalah gagal menjaringkan gol walaupun mempunyai banyak peluang. Pemain saya terlalu ghairah mencari gol dan dalam masa yang sama, mereka turut berasa tertekan,” katanya.  

Keputusan seri itu juga telah mengganggu perancangan Yusri yang sebelum ini mengharapkan tiga mata penuh di tempat sendiri. Dengan hanya satu mata, jurulatih itu menyedari bahawa pasukannya perlu bekerja lebih keras dalam baki perlawanan musim ini.  

Yusri turut meluahkan kebimbangan mengenai kedudukan skuad Seladang berada di tangga ketujuh masih belum selamat, dengan kelab di bawah mereka seperti PDRM FC dan Penang FC masih mempunyai tiga perlawanan berbaki berbanding Perak yang hanya tinggal dua.   

Tambah membimbangkan, tempoh rehat hampir 30 hari sebelum perlawanan seterusnya dijangka memberi kesan kepada prestasi pemain.  

“Kami akan menentang Kuala Lumpur pada 6 April sebelum berdepan Pahang pada 19 April. Tempoh rehat yang panjang ini, ditambah pula dengan skuad yang tidak lengkap, akan menjadi cabaran besar buat kami,” ujarnya.  

Sementara itu, ketua jurulatih Negeri Sembilan iaitu K. Nanthakumar, memuji persembahan anak buahnya yang berjaya menafikan kemenangan tuan rumah meskipun bermain dengan 10 pemain.

Aqil beraksi cemerlang dalam aksi menentang Perak pada Sabtu.  — Facebook/NSFC

Pengendali berusia 47 tahun berkenaan turut memuji penjaga gol, Aqil Abdul Razak, yang dianggap pemain terbaik dalam perlawanan tersebut.  

“Aqil beraksi cemerlang dan tanpa dia, sukar untuk kami mengelak kekalahan. Walaupun kami mengharapkan tiga mata, mendapatkan satu mata masih lebih baik daripada pulang dengan tangan kosong,” katanya. 

Dengan keputusan 0-0 di Manjung itu, persaingan di pertengahan liga semakin sengit dan kedua-dua pasukan perlu memanfaatkan baki perlawanan bagi memastikan kedudukan yang lebih selesa. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram