Bidoglio optimis Castillejo cepat serasi, segera beri impak lebih besar


  • Podium
  • Khamis, 06 Mac 2025

Castillejo menyertai JDT untuk membantu bahagian serangan Harimau Selatan dalam saingan ACLE. — Facebook/JDT

PERTARUNGAN untuk menentukan kelab terbaik di Asia Tenggara terpaksa ditangguhkan selama seminggu lagi selepas Johor Darul Ta’zim (JDT) hanya mampu mencatat keputusan seri 0-0 menentang Buriram United pada Selasa. 

Dalam perlawanan pertama pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara AFC Elite (ACLE) di Chang Arena, Buriram, itu menyaksikan wakil Malaysia itu turun menurunkan gandingan Arif Aiman Hanapi dan Bergson da Silva di jentera serangan. 

Bagaimanapun, Buriram yang berada di bawah bimbingan Osmar Loss, mendominasi permainan dan menyukarkan JDT untuk menembusi, dengan penjaga gol Neil Etheridge tampil dengan aksi cemerlang menafikan percubaan pasukan pelawat. 

BACA LAGI: 'Kononnya Buriram United kacau gameplay', isu padang punca JDT pulang tangan kosong

BACA LAGI: 'Kena pandai guna dia', posisi Dion Cools bersama Harimau Malaya harap ditukar lepas aksi memukau berdepan JDT

“Permainan antarabangsa sentiasa sukar. Bermain di tempat lawan dalam perlawanan jenis ini adalah lebih mencabar kerana ia bukan hanya 90 minit tetapi ia adalah 180 minit.

“Bagi kami, ini keputusan yang baik kerana selepas ini kami akan bermain di laman sendiri. Kami adalah pasukan yang kuat di tempat sendiri, tetapi bermain di tempat lawan dalam Liga Juara-Juara sentiasa sukar.

“Tetapi hari ini (Selasa), pasukan kekal kompak dan bermain sebagai satu unit sehingga minit akhir. JDT adalah pasukan yang besar, jadi kami tahu kami perlu menambah baik. Kami mesti kekal fokus dan terus berkembang,” kata pengendali JDT, Hector Bidoglio. 

Pengendali JDT, Hector Bidoglio. — Facebook/JDT

Selain itu, jurulatih dari Argentina itu turut mengingatkan anak buahnya agar kekal fokus dan terus meningkatkan prestasi, apatah lagi mereka bakal berdepan cabaran sengit dalam perlawanan kedua.  

Pertemuan terakhir antara kedua-dua pasukan di venue yang sama pada 3 Disember lalu juga berakhir dengan keputusan seri 0-0, dengan perlawanan tersebut dicemari insiden kad merah melibatkan tiga pemain termasuk Murillo Henrique dan Park Jun-heong dari JDT, serta Theerathon Bunmathan dari Buriram.  

Dalam pada itu, Bidoglio turut memberikan komen positif mengenai penampilan pemain baharu, Samu Castillejo bersama Harimau Selatan yang sebelum ini beraksi bersama AC Milan di Serie A.  

“Saya berpuas hati dengan usaha Samu. Dia masih baru dalam pasukan dan dalam proses memahami gaya permainan serta rakan sepasukannya. Saya yakin dalam beberapa hari lagi, dia akan lebih serasi dengan pasukan dan mampu memberikan impak yang lebih besar," katanya. 

Castillejo dimasukkan pada separuh masa kedua menggantikan Bergson da Silva dalam usaha meningkatkan serangan JDT, namun perancangan tersebut masih gagal untuk menembusi pertahanan Buriram. 

Perlawanan timbal balik di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 11 Mac ini sebagai penentu pasukan yang akan melangkah ke suku akhir. — The Star/ADAMZAMRI 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram