'TFC mampu pintas Sabah rebut tempat ke-3 liga, miliki kelebihan raih mata penuh di SSMZA'


  • Podium
  • Jumaat, 07 Mac 2025

Terengganu FC pastinya berhasrat meraih kemenangan di laman sendiri selepas mencatatkan kemenangan besar 5-1 ke atas Sri Pahang di gelanggang sendiri. — Facebook/TFC

TERENGGANU FC (TFC) perlu meraih kemenangan ke atas Sabah FC jika mereka mahu menamatkan saingan Liga Super 2024 dalam kalangan tiga kelab terbaik.

Kemenangan tersebut amat penting untuk mencerahkan peluang Sang Penyu memintas kedudukan tangga ketiga liga yang kini diduduki oleh Sabah.

Sabah kini berada di tempat ketiga dengan 35 mata, manakala Terengganu di tempat keempat dengan 31 mata selepas 20 perlawanan.

BACA LAGI: Fans Sri Pahang dakwa tiket final Piala Malaysia mahal, tak berbaloi semata mahu tengok JDT 'training' di SNBJ

BACA LAGI: JDT hitung hari, jaguh kelab China, Korea Selatan pun 'terciduk' di SSI, apatah lagi Buriram United

Sebahagian sesi latihan Sang Penyu yang pastinya mahu meraih tiga mata penuh aksi bertemu Sabah FC saingan Liga Super pada Jumaat. — Facebook/TFC

Sekiranya TFC berjaya memperoleh tiga mata penuh dalam aksi bertemu Sabah, kedudukan liga dijangka berubah dengan Terengganu mampu merampas tempat ketiga.

Mengulas mengenai perlawanan tersebut, legenda Terengganu, Che Ku Marzuki berharap agar skuad kendalian Badrul Afzan Razali memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri untuk mencari kemenangan.

Namun, Che Ku juga mengingatkan bahawa keupayaan TFC untuk meraih kemenangan agak rumit memandangkan beberapa pemain utama sedang mengalami kecederaan antaranya Ivan Mamut, Argzim Redzovic dan Muhammad Alif Zakaria.

"Inilah peluang TFC untuk mencari kemenangan dan mengumpul mata agar berjaya memintas tempat ketiga liga, lebih-lebih lagi bermain di tempat sendiri.

"Tapi untuk mencapai kemenangan, tiga mata itu rumit sedikit disebabkan ramai pemain utama yang mengalami kecederaan," katanya kepada Majoriti.

Ketajaman Safawi Rasid (kanan) ditagih bagi membantu Sang Penyu meraih kemenangan di laman sendiri. Facebook/TFC

Che Ku juga menegaskan bahawa Sabah yang kini berada di tempat ketiga, pastinya berhasrat untuk mengekalkan kedudukan mereka.

Dengan hanya perbezaan tiga mata, Sabah mungkin berusaha mencuri sekurang-kurangnya satu mata dalam perlawanan yang akan berlangsung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Gong Badak, Terengganu pada Jumaat.

"Pasukan Sabah kini masih berada di tempat ketiga dan TFC tempat keempat dengan perbezaan tiga mata sahaja. Tidaklah begitu jauh, tetapi Sabah mesti juga ingin kekalkan kedudukan dalam liga. Mungkin mereka akan cuba mencuri satu mata," tambahnya.

Walaupun berdepan cabaran kecederaan pemain utama, Che Ku menegaskan bahawa TFC perlu memanfaatkan kelebihan bermain di laman sendiri sebaiknya, sambil berharap para pemain dapat memberi persembahan terbaik untuk tidak mengecewakan penyokong yang hadir memberi sokongan.

Pada masa sama, Che Ku turut menekankan peranan penting pertahanan kental, Azam Azmi Murad dalam memastikan benteng pertahanan TFC kukuh.

Pertahanan Sang Penyu, Azam Azmi perlu memainkan peranan cukup penting dalam mengekang serangan lawan.Facebook/TFC

Azam Azmi diharap dapat mengawal bahagian pertahanan dengan rapi serta mencari peluang sepakan percuma di depan gol.

"Pasukan taktikal Terengganu perlu menaruh harapan kepada Azam Azmi untuk menjaga bahagian pertahanan dan cuba mencari banyak peluang sepakan percuma di depan gol. Jika strategi ini berjaya, TFC berpotensi meraih tiga mata," ujarnya.

Tambahnya, kelebihan bermain di laman sendiri termasuk sokongan padu penyokong dan tiada keletihan akibat perjalanan jauh, selain persiapan latihan yang lebih rapi.

Namun, dia juga mengingatkan bahawa bulan puasa mungkin memberi kesukaran kepada kedua-dua pasukan untuk mencapai keputusan positif.

"Walaupun ada kelebihan bermain di tempat sendiri, bulan puasa ini mungkin boleh jadi kedua-dua pasukan bergelut untuk mencapai keputusan positif," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram