
PERSEKUTUAN Bola Sepak Perancis (FFF) menerima kritikan hebat selepas melarang pemain Muslim daripada berpuasa semasa Ramadan ketika menjalani latihan bersama skuad kebangsaan Les Blues.
Menurut laporan, FFF telah memaklumkan kepada pemain Muslim yang berpuasa bahawa mereka tidak dibenarkan berpuasa di kem latihan Clairefontaine. Sebaliknya, mereka hanya boleh menggantikan hari-hari puasa yang tertinggal selepas tamatnya perlawanan antarabangsa.
Keputusan tersebut mengundang pelbagai reaksi daripada peminat dan penggiat bola sepak termasuk daripada wartawan sukan Kanada, Shireen Ahmed, yang meluahkan rasa tidak puas hati di platform media sosial X.
BACA LAGI: Perancis larang pemain Muslim berpuasa sepanjang Ramadan… sekali lagi
BACA LAGI: Bek Perancis antara 5 pemain Liverpool tak turun latihan menjelang aksi berdepan Tottenham
“Larangan hijab untuk wanita, dan kini larangan berpuasa bagi pemain yang mengamalkan Ramadan. Perancis terus menjadi juara dalam tingkah laku anti-Muslim," katanya dalam satu hantaran di laman X.
Presiden FFF, Philippe Diallo, mempertahankan tindakan tersebut dalam satu wawancara bersama Le Figaro. Beliau menegaskan bahawa tiada elemen diskriminasi dalam keputusan berkenaan.
“Tiada siapa yang distigmakan. Tetapi apabila kita berada dalam pasukan Perancis, kita mesti menghormati kerangka yang ditetapkan," katanya.
Selain itu, Diallo juga menjelaskan bahawa peraturan persekutuan menekankan prinsip neutral dan melarang sebarang bentuk ekspresi politik atau keagamaan semasa perlawanan melibatkan pasukan Perancis.
Presiden FFF, Philippe Diallo. — Agensi
Namun begitu, keputusan ini terus mencetuskan perdebatan dalam kalangan peminat sukan dan komuniti Muslim, yang menganggapnya sebagai satu lagi tanda peningkatan sikap tidak toleran terhadap agama di Perancis.
Ia bukan kali pertama, FFF bertindak sebegitu rupa apabila persekutuan itu juga pada tahun lepas melarang pemain Muslim berpuasa sepanjang Ramadan ketika menjalani latihan bersama skuad kebangsaan.
Pemain tengah skuad Bawah 19 (B-19) Perancis, Mahamadou Diawara dilaporkan tidak selesa dengan peraturan baharu yang membabitkan skuad B-16 sehingga ke peringkat senior dan membuat keputusan meninggalkan pasukan.
Tahun lepas, Diawara membuat keputusan meninggalkan pasukan Perancis. — Agensi
Tindakan berani pemain muda itu membuatkan penyokong berfikir adakah bintang utama pasukan senior seperti bintang Paris Saint Germain, Ousmane Dembele dan bek Liverpool, Ibrahima Konate akan membuat perkara sama.
Dengan kem latihan Perancis akan bermula tidak lama lagi bagi aksi menentang Crotia bagi Liga Negara-Negara UEFA pada 21 Mac dan 24 Mac, pasti ramai menanti perubahan keputusan dari FFF ataupun tindakan protes dari para pemain berkenaan.
Setakat ini, tiada sebarang respons daripada dua pemain berkenaan berhubung isu tersebut. Kedua-duanya sedang memberi tumpuan untuk aksi PSG menentang Liverpool bagi Liga Juara-Juara UEFA di Parc des Princes, Paris pada Khamis. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram