
NEGERI Sembilan FC akhirnya boleh menarik nafas lega selepas berjaya meraih kemenangan selepas sekian lama tidak merasai kejayaan itu.
Skuad kendalian K. Nanthakumar itu melakar sejarah tersendiri selepas menewaskan Kedah Darul Aman FC dengan keputusan 2-0 dalam saingan Liga Super 2024 yang berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan pada Rabu.
Kali terakhir skuad Jang meraih kemenangan adalah ketika bertemu Sri Pahang FC dalam saingan liga pada 10 Januari musim ini.
BACA LAGI: 'Sikap ambil mudah ancam Sabah, tak mustahil terlepas 'top 3' Liga Super'
BACA LAGI: [VIDEO] Lepas tinggalkan Sang Penyu, Marin Pilj buktikan mampu ledak gol
Perlawanan di Stadium Paroi menyaksikan pasukan tuan rumah menguasai sepenuhnya 10 minit pertama selepas wisel sepak mula dibunyikan.
Skuad Jang melancarkan serangan bertali arus ke kubu pelawat menyebabkan pertahanan Sang Kenari kelihatan goyah dan berusaha keras untuk menghalang sebarang percubaan gol.
Walaupun mendominasi perlawanan pada awal babak pertama, skuad Jang gagal memperoleh gol pendahuluan.
Peluang demi peluang hadir buat skuad Jang namun usaha anak-anak buah Nanthakumar untuk memecah benteng pertahanan Sang Kenari menemui kegagalan.
Berbeza pula dengan skuad kendalian Victor Andrag yang terpaksa berhempas-pulas untuk menembusi benteng pertahanan kukuh tuan rumah.
Memasuki minit-minit akhir babak pertama, gol yang dinanti-nantikan oleh skuad Jang akhirnya hadir apabila kesilapan benteng pertahanan dan kelekaan penjaga gol KDA FC, Ifwat Akmal membenarkan gol tersebut.
Penyerang NSFC, Harith Samsuri berhasil mencetak nama selaku penjaring buat skuad Jang pada minit ke-40.
Kembali dari rehat, kedua-dua pasukan dilihat tidak melakukan pertukaran pemain dan mengekalkan kesebelasan utama.
Skuad Jang yang memiliki kelebihan satu gol itu dilihat mahu menggandakan keputusan dengan melakukan serangan bertali arus ke kubu pelawat.
Begitupun, tiada jaringan berjaya dihasilkan oleh pasukan tuan rumah itu.
Memasuki minit ke-70 aksi di Paroi, Sang Kenari hampir menyamakan kedudukan menerusi Milos Gordic namun percubaan import KDA FC itu berhasil dikeluarkan oleh penjaga gol NSFC, Aqil Razak.
Para pemain NSFC mengawal ketat salah seorang pemain KDA FC (tengah).
Sang Kenari yang dilihat buntu dalam mencari jaringan akhirnya membuat tiga pertukaran pemain sekali gus dengan membawa masuk Ebenezer Assifuah, Afeeq Iqmal dan Fadzrul Danel.
Kurang daripada lapan minit selepas membawa masuk tiga pemain tersebut, KDA FC menerima tamparan hebat apabila jaringan A. Selvan menambah derita buat Sang Kenari.
Aksi babak kedua menyaksikan keputusan akhir 2-1 memihak kepada pasukan tuan rumah yang cukup selesa beraksi di gelanggang sendiri.
Meskipun meraih tiga mata berharga di laman sendiri itu, ramai fans NSFC tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil perlawanan, Mohd Fusser Mad Sallih yang tidak melayangkan kad merah terhadap bek kanan Sang Kenari, Kamil Akmal Halim.
Bek kanan Sang Kenari itu dikesan melakukan kekasaran dengan mengangkat kaki kanannya dan mengenai perut pemain skuad Jang.
Tindakan tersebut dilihat sengaja bertujuan untuk mencederakan pemain lawan, namun pengadil perlawanan memilih untuk meneruskan aksi pada babak kedua.
Ref sudah kena bayar ke tu? sah red card macam itu," kata Nordin Onn.
"Kena tajak dekat dada pun tiada red card langsung, pengulas pun pelik, aduh ref Liga Malaysia lemah," kata Nur Aisyah.
"Ref kayu, patut kad merah dan penalti, lama dah aku perhati ref kayu macam ini, acah cool," kata Azroy Azmi II. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram