Klinik NSL 2025 catat hampir 700 penyertaan, SMK Pulau Carey jadi lokasi penutup tirai


  • Podium
  • Rabu, 26 Feb 2025

Hampir 300 pelajar SMK Carey menyertai Klinik NSL baru-baru ini.

KLINIK Netball Super League (Klinik NSL) yang keempat dan terakhir bagi musim ini telah dianjurkan di Sekolah Menengah Pulau Carey, Selangor dengan penyertaan seramai 300 pelajar.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan peserta bagi musim ini mencecah 700 orang peserta termasuk mereka yang menghadiri klinik NSL yang dibuka kepada orang ramai di Sports Arena@Uniten, Velodrome Iskandar Puteri dan Stadium Juara, Bukit Kiara.

Pemilihan sekolah pada musim ini adalah bagi memberikan pendedahan awal kepada pelajar terutamanya suku kaum Orang Asli Mahmeri mengenai asas sukan bola jaring.

BACA LAGI: [VIDEO] Lepas tinggalkan Sang Penyu, Marin Pilj buktikan mampu ledak gol

BACA LAGI: 'Turun ke Liga Perdana beri peluang Kedah sembuh'

SMK Pulau Carey merupakan lokasi terakhir Klinik NSL selepas tiga lokasi diadakan pada musim ini.

Pihak Astro turut menyumbangkan tiang gol, bola dan keperluan asas kepada sekolah tersebut bagi membantu mencetuskan minat serta semangat pelajar untuk terus aktif dalam sukan bola jaring.

Ketua Kakitangan Astro dan Ketua Prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), Foo Su Lynn berkata, Klinik NSL adalah satu nilai tambah yang penting kepada kejohanan NSL, yang kini memasuki edisi keempat musim ini.

"Kami percaya bahawa sukan adalah platform penting dalam membentuk sahsiah dan memperkasa generasi muda.

"Melalui Klinik NSL ini, kami berharap dapat membuka lebih banyak peluang kepada pelajar, khususnya di kawasan luar bandar untuk mengenali serta menyemai minat mereka dalam sukan bola jaring.

"Astro Kasih ESG berbangga dapat bekerjasama dengan pasukan Astro Sports dalam memperkukuh inisiatif ini, yang bukan sahaja menyokong pembangunan bakat di peringkat akar umbi tetapi juga memperkasa komuniti melalui sukan,” katanya.

Klinik NSL bertujuan untuk memupuk minat belajar terhadap sukan bola jaring.

Menurutnya, dia juga percaya bahawa pengalaman yang diperoleh di Klinik NSL dapat menjadi pemangkin kepada generasi muda untuk terus bersemangat, berusaha dan mengasah potensi diri dengan bimbingan jurulatih kebangsaan yang berpengalaman.

"Ini adalah sebahagian daripada komitmen kami untuk memberi impak positif kepada masyarakat melalui ESG dan sukan,” katanya.

Jelasnya lagi, Astro turut berbesar hati dengan dengan kerjasama daripada Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS) dan juga Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang sentiasa memberi sokongan kepada klinik anjuran Astro termasuk Astro Kem Badminton (AKB) dan Klinik Sepak Takraw League (Klinik STL) yang diadakan pada musim lalu.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Klinik NSL dan Jurulatih Bola Jaring Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Husna Hussin Ali menyifatkan program berkenaan sebagai satu permulaan yang baik dengan sambutan yang amat menggalakkan.

Para pelajar turut diajar kemahiran asas bermain bola jaring.

"Melihat peserta memanfaatkan cuti sekolah mereka dengan aktiviti yang bukan sahaja menyeronokkan tetapi juga memberi ilmu dan kemahiran bola jaring adalah sesuatu yang sangat positif.

"Sepanjang Klinik NSL ini, saya dapat melihat potensi besar dalam kalangan peserta. Sebagai jurulatih, kami sangat terinspirasi dengan semangat dan kesungguhan para peserta.

"Harapan kami adalah agar pengalaman ini menjadi langkah pertama untuk mereka mencapai kejayaan yang lebih tinggi dalam sukan bola jaring.

"Siapa tahu, mungkin sebahagian daripada mereka bakal menjadi bintang NSL atau mewakili negara suatu hari nanti,” katanya.

Selain mendapat barang-barang eksklusif NSL, peserta terbaik turut dapat beraksi di dalam gelanggang sebenar NSL dan disiarkan secara langsung di Astro Arena.

NSL yang telah melabuhkan tirainya pada Ahad lalu menyaksikan pasukan KL Wildcats dinobatkan sebagai juara, naib juara Putrajaya Dynamites dan Johor Jewels di tempat ketiga pada edisi musim ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram