Terjatuh balkoni pusat beli-belah ketika jumpa kawan, bintang bola sepak Nigeria meninggal dunia


  • Podium
  • Selasa, 25 Feb 2025

Pemain bola sepak Nigeria meninggal dunia selepas terjatuh dari balkoni pusat beli-belah di Kampala, Uganda, Afrika Timur pada Isnin.

DUNIA bola sepak dikejutkan dengan pemergian pemain Vipers SC, Abubakar Lawal, yang maut selepas terjatuh dari balkoni sebuah pusat beli-belah di Kampala, Uganda, Afrika Timur pada Isnin.

Penyerang berusia 29 tahun itu, yang bermain untuk kelab Liga Perdana Uganda, Vipers SC, dipercayai terjatuh dari tingkat tiga Voicemall Shopping Arcade.

Menurut pihak berkuasa, Lawal yang merupakan pemain kebangsaan Nigeria, ketika itu sedang melawat seorang rakan dari Tanzania yang menetap di sebuah pangsapuri dalam kompleks pusat beli-belah tersebut.

BACA LAGI: CEO Alef Aeronautics dedah faktor keselamatan antara punca tidak kongsi video kereta terbang pertama berlepas dengan selamat

BACA LAGI: [VIDEO] Padah lempar kabel internet dari bawah, 2 juruteknik Indonesia rentung berpelukan terkena renjatan elektrik

Rakan berkenaan memaklumkan bahawa dia telah meninggalkan Lawal bersendirian sejurus sebelum insiden berlaku.  

Pihak polis kini sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) serta menjalankan sesi soal siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

"Kami sedang menjalankan siasatan menyeluruh untuk mengetahui butiran lengkap mengenai insiden ini," kata pegawai polis.

Berita pemergian pemain itu turut disahkan kelabnya, Vipers SC yang mengeluarkan kenyataan susulan kematian mengejut dialaminya.

"Kami amat berdukacita untuk mengumumkan pemergian secara tiba-tiba pemain kesayangan kami, Abubakar Lawal yang meninggalkan kita pagi ini.

"Doa dan ingatan kami bersama keluarga Lawal, para penyokong kelab, rakan-rakan serta insan tersayang dalam saat sukar ini," tambah kenyataan itu.

Lawal menyertai Vipers SC pada Julai 2022 selepas dua tahun bersama AS Kigali FC di Rwanda.

Sepanjang bersama kelab, dia memainkan peranan penting dalam jentera serangan pasukan.

Pemergiannya secara tragis telah mengejutkan dan menyedihkan komuniti bola sepak di Uganda, Nigeria serta seluruh dunia. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram